suria

Polis Muar temui semula peralatan bantuan sekolah yang dicuri

MUAR: Polis berjaya menemui semula sebahagian daripada peralatan bantuan mengajar yang dicuri dari beberapa buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) di sini beberapa hari lepas, kata Timbalan Ketua Polis Muar Supt Lee Choon Guan.

Menurutnya, peralatan tersebut seperti komputer, projektor dan alat DVD bernilai RM40,000 ditemui semula berikutan serbuan polis di sebuah kedai di Pasir Gudang, Johor Baharu semalam, di mana seorang lelaki berusia 40-an turut ditahan.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini, beliau berkata, polis sedang mengesan dua lagi lelaki yang dipercayai boleh membantu siasatan pihak berkuasa dalam kes terbabit.

Pada kejadian awal pagi Sabtu lepas, penjenayah telah mengikat pengawal keselamatan SRJKC Wee Sin, Bukit Pasir dan melarikan pelbagai peralatan bantuan mengajar bernilai RM30,000.

Pada 7 pagi hari yang sama, penjenayah turut mencuri peralatan bantuan mengajar sekolah yang dianggarkan bernilai RM20,000 dari SRJKC Parit Jawa.

Sehari sebelum itu, pada kejadian 7 pagi, penjenayah turut mencuri peralatan yang sama bernilai kira-kira RM30,000 dari SRJKC Chin Teck di Bakri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Teresa saman Utusan RM30 juta

Artikel Berikut

30 maut gempa bumi dekat Lhasa

Artikel Lain