suria

Petani tidak mengaku bersalah membunuh tanpa niat

KOTA BAHARU?: Seorang petani hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membunuh tanpa niat seorang lelaki di Kampung Lundang Paku di sini, Julai lalu.

Mat Daud @ Mohd Daud Ishak, 62, dituduh melakukan jenayah itu terhadap Arifin Awang Hamad, 65, di kampung itu pada 18 Julai, pukul 6 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh kemudiannya membenarkan bapa kepada tujuh anak itu dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sebelum kesnya disebut semula pada 10 Nov depan. Dia membayar wang jaminan itu.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, tiga anggota sebuah keluarga mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 600 gram atau bersamaan 6,000 biji pil di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Kubang Panjang, Pasir Mas, pada pukul 11.15 pagi, 26 Sept lalu.

Seorang peniaga, Mohamad Kamarul Wahyu Abdullah, 25, bapa tirinya Aziz Mohamad, 41, dan ibunya Rugayah Kadir@Deraman, 44, didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan 10 kali sebatan jika disabitkan kesalahan.

Che Mohamad Zulkifly kemudiannya menetapkan 10 Nov depan untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan bagi keduadua kes itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Poh Loon. BERNAMA

Artikel Sebelum

Teresa saman Utusan RM30 juta

Artikel Berikut

30 maut gempa bumi dekat Lhasa

Artikel Lain