suria

Pertahan jawatan Umno Pak Lah temu pemimpin BN umum pendirian misteri petang ini

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Mempertahankan jawatan Presiden parti ataupun tidak?

Persoalan ini terus bermain di fikiran kebanyakan pihak termasuk di dalam dan luar negara manakala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mengumumkan pendirian sama ada mempertahankan jawatan Presiden Umno atau sebaliknya menjelang pukul 5 petang ini.

Semalam, Perdana Menteri memberitahu bahawa beliau tidak akan membuat apa-apa pengumuman hari ini.

"Saya tiada pengumuman untuk hari ini (semalam)," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan BioMalaysia 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Di sebalik itu, pelbagai spekulasi terus muncul dengan sesetengah pihak masih yakin Abdullah akan mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan Mac depan.

Mereka beranggapan sedemikian dengan melihat perkembangan terkini dalam Umno dan negara.

Kelmarin Umno Bahagian Kuala Kedah mengumumkan bahawa pihaknya akan mencalonkan Abdullah untuk kekal sebagai Presiden parti.

Badan Perhubungan Kelantan juga mengumumkan pihaknya akan menyokong Abdullah jika beliau berhasrat untuk mempertahankan kedudukannya.

Pada Khamis lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Tun Musa Hitam berkata, beliau percaya bahawa langkah menunda Perhimpunan Agung Tahunan dan pemilihan sehingga tahun depan merupakan petanda kemungkinan Abdullah tidak akan mempertahankan kedudukannya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengesahkan Majlis Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok.

"Mesyuarat itu akan diadakan pada 3.30 petang esok," katanya kepada Bernama hari ini.

Kelmarin Perdana Menteri berkata, beliau akan mengumumkan pendiriannya sama ada hari ataupun esok.

Malah, kelmarin Abdullah mengesahkan yang beliau akan menemui pemimpin-pemimpin BN di ibu negara hari ini.

"Tunggulah dalam masa yang tak lama lagi, Saya akan buat keputusan esok atau Rabu", katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Bioteknologi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini kelmarin.

Pada 26 Oktober lalu Presiden Umno itu berkata beliau akan mengumumkan mengenai keputusannya untuk mempertahankan jawatannya itu sebelum 9 Oktober iaitu sebelum bermulanya persidangan peringkat bahagian.

Pada 1 Oktober lalu, Perdana Menteri berkata beliau akan memberi penjelasan kepada ketua parti komponen BN mengenai pelan peralihan kuasa antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Artikel Sebelum

Teresa saman Utusan RM30 juta

Artikel Berikut

30 maut gempa bumi dekat Lhasa

Artikel Lain