suria

Pembela persoal tujuan pendakwa ingin pindahkan kes Anwar ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Barisan peguam bela dalam perbicaran kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan tujuan pihak pendakwa yang begitu bersungguh-sungguh ingin memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Peguam bela utama Sulaiman Abdullah meminta pihak pendakwa memberi sebab yang meyakinkan serta alasan secara mendalam tentang rasional di sebalik permohonan mereka untuk memindahkan perbicaraan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata Mahkamah Sesyen mempunyai kuasa untuk meminta alasan itu daripada pendakwa kerana kuasa untuk bertanya yang dimiliki oleh mahkamah itu, tidak menceroboh kuasa Peguam Negara.

"Sebaliknya, ia merupakan langkah bagi melindungi kesucian proses mahkamah dan bagi memastikan ia tidak disalah guna," kata beliau.

Sulaiman berkata apabila Seksyen 418A diperkenalkan ke dalam Kanun Prosedur Jenayah (CPC), ia tidak menghapuskan kuasa mahkamah itu untuk mengadakan inkuiri, sama ada berhubung kesahan atau bona fide dalam pengeluaran sijil pemindahan. Kata beliau Seksyen 418A juga tidak menghapuskan kuasa mahkamah itu dalam menentukan sah atau tidak sijil berkenaan.

"Mahkamah boleh melaksanakan kuasa yang sedia ada padanya bagi menghalang penyalahgunaan prosesnya, melakukan perkara yang betul dan tidak melakukan perkara yang tidak betul, dalam melaksanakan keadilan," katanya.

Sulaiman berkata demikian dalam hujahnya mengenai bantahan pihak pendakwa tentang kesahan sijil pemindahan yang ditandatangani Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Semalam, dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Sesyen S.M. Komathy Suppiah memutuskan bahawa mahkamah itu mempunyai budi bicara bagi mendengar hujah berhubung bantahan pihak pembela, yang mempersoalkan sah atau tidak sijil yang dikemukakan oleh pihak pendakwa bagi memindahkan perbicaran kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Komathy menolak bantahan awal oleh pihak pendakwa yang mendakwa bahawa mengikut Seksyen 418A (3) Kanun Prosedur jenayah, Mahkamah Sesyen wajib memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi sebaik saja sijil pemindahan dikemukakan oleh pihak pendakwa.

Sulaiman akan menyambung hujah beliau, esok. BERNAMA

Artikel Sebelum

Teresa saman Utusan RM30 juta

Artikel Berikut

30 maut gempa bumi dekat Lhasa

Artikel Lain