suria

Muhyiddin Rakyat jangan terus terpedaya dengan pembohongan Anwar

KULIM:Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta rakyat supaya tidak lagi mendengar pembohongan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan rancangannya mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata rakyat tidak sepatutnya membuang masa untuk memikirkan kenyataan tidak berasas Ketua Pembangkang itu kerana terbukti bahawa dakwaannya untuk menubuhkan kerajaan pada 16 Sept lalu adalah tidak benar.

"Tidak perlulah kita membuang masa melayani pembohongan beliau dan sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada usaha membangunkan ekonomi dan negara serta menangani kesan krisis kewangan global," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra sempena Aidilfitri di Kulim Golf Resort, di sini.

Katanya dalam keadaan krisis kewangan yang tenat di Amerika Syarikat dan Eropah, keutamaan kerajaan dan rakyat di negara ini ialah menangani masalah ekonomi serta meningkatkan aktiviti yang boleh mencergaskan ekonomi agar rakyat tidak begitu merasai kesannya.

"Ini merupakan perkara utama atau "roti dan mentega" yang perlu diselesaikan oleh kerajaan daripada terus menerus mengulas politik pembangkang. Adalah lebih baik kita mengurangkan polimik politik ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar bahawa rancangannya untuk mengambil alih kerajaan akan tetap dilaksanakan tanpa mengira keputusan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan Presiden Umno atau tidak.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata ini kerana rancangan itu bukan bersifat peribadi terhadap Abdullah ataupun Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menasihatkan Anwar supaya terus memainkan peranannya sebagai Ketua Pembangkang yang bertanggungjawab seperti mana yang beliau janjikan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh Ogos lalu.

"Saya rasa beliau tidak menumpukan perhatian kepada tugasnya itu sekarang dan sebaliknya hanya membesarbesarkan rancangan untuk menubuhkan kerajaan itu hanya kerana hendak menjaga kredibilitinya.

"Kita telah saksikan bahawa katakatanya untuk mengambil alih kerajaan pada 16 Sept tidakpun berlaku dan ini merupakan satu pembohongan kepada rakyat. Nampaknya beliau masih tidak berhenti (berbohong) walaupun semua kepimpinan BN memberi pengakuan bahawa tiada anggota Parlimen mereka yang akan menyertai PKR," katanya.

Menurutnya anggota Parlimen BN telah memberi jaminan bahawa mereka tetap kekal bersama parti itu dan menjunjung semangat setiakawan walaupun difitnah akan meninggalkan parti kerana merasakan mereka bukan barangan yang boleh dijual beli.

"Rancangan Anwar sebenarnya telah gagal dan cerita itu hanya direka untuk memberi harapan palsu kepada para penyokongnya, seperti kata pepatah Melayu, angan-angan Mat Jenin. Dia tidak bercakap benar," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Teresa saman Utusan RM30 juta

Artikel Berikut

30 maut gempa bumi dekat Lhasa

Artikel Lain