suria

Muftli Perlis tidak mahu isu beliau letak jawatan dipanaskan lagi

PETALING JAYA: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang akan meletakkan jawatan sebagai Mufti Perlis hujung bulan ini berharap isu tersebut "tidak dipanaskan lagi."

Kata Asri, beliau telah membuat keputusan dan suratnya kepada Universiti Sains Malaysia untuk kembali bertugas juga telah pun dihantar dengan rasmi.

Sehubungan itu, jelas Asri, beliau juga berterima kasih kepada kerajaan negeri Perlis yang telah memberi peluang kepadanya sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Mufti Perlis.

"Permainan silap mata politik adalah perkara yang biasa berlaku dalam negara ini," kata Mufti sambil menambah, maksud tersebut tercapai dengan mudah kerana beliau sendiri mempunyai hasrat untuk berhenti.

"Terima kasih kepada Kerajaan Perlis yang lepas dan juga Pihak Istana Perlis yang selama ini memberikan ruang yang amat baik," katanya.

Tambah beliau, tanggungjawab dakwah dan seruan kepada kebenaran akan diteruskan seperti biasa.

"Peletakan ini juga adalah bukti bahawa pandangan, teguran atau sokongan tidak bertujuan mendapat kedudukan dan jawatan," kata beliau lagi dalam blognya hari ini untuk menjelaskan keputusannya melepaskan jawatan tersebut.

Asri nenambah, beliau kemungkinan akan pergi mengambil cuti penyelidikan di luar negara dalam waktu terdekat.

"Ruang dakwah dan memberikan pandangan insya-Allah masih terbuka di masa hadapan dengan apa yang akan Allah permudahkan. "Pandangan yang berpaksi prinsip sentiasa terpaksa membayar harganya, dan ini mungkin sebahagian daripadanya," katanya lagi.

Malah beliau berharap, mereka yang berjawatan yang sama selepas ini sentiasa memberikan pandangan untuk kebaikan imej Islam, rakyat dan negara.

"Terima kasih kepada banyak pihak; rakyat dan pemimpin yang telah memberikan sokongan moral dan semngat yang begitu padu selama ini," katanya.

Asri dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 menggantikan Datuk Alim Panglima Mat Jahaya Hussin.

Walaupun tempoh kontraknya berakhir tahun depan tetapi beliau memutuskan untuk bersara lebih awal.

Artikel Sebelum

Teresa saman Utusan RM30 juta

Artikel Berikut

30 maut gempa bumi dekat Lhasa

Artikel Lain