suria

Mahkamah tolak petisyen pilihanraya Parlimen Marang

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini hari ini menolak dengan kos petisyen pilihan raya yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Marang, Datuk Dr Ahmad Ramzi Muhammad Zuber berhubung wujudnya insiden yang menghalang pengundi menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Dalam penghakiman dua muka surat itu, Hakim Datuk Kang Hwee Ghee berkata, sebanyak 86.2 peratus daripada pengundi berdaftar berjaya menunaikan kewajipan masing-masing dan sehubungan itu tiada alasan untuk mahkamah mengisytiharkan kemenangan yang diperoleh responden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kerusi Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, dibatalkan.

"Bantahan awal responden juga dibenarkan dan petisyen yang dikemukakan dibatalkan dan ditolak dengan kos," katanya.

Katanya ancaman awam yang berlaku daripada enam insiden seperti yang dinyatakan dalam petisyen juga gagal mengakibatkan peratusan yang keluar mengundi pada hari berkenaan berkurangan.

Dalam penghakimannya petang tadi, Kang berkata, walaupun pempetisyen memberikan alasan yang mencukupi terhadap kejadian yang berlaku, namun tiada bukti yang mencukupi disertakan bagi menunjukkan bahawa insiden itu dilakukan calon yang bertanding atau dengan pengetahuannya dilakukan oleh mana-mana ejen calon.

"Fakta yang menyatakan bahawa perlakuan salah laku itu dilakukan oleh individu dikenali sebagai Mohd Khalil dan semua penyokongnya yang memakai jaket yang mempunyai logo PAS tidak memadai untuk menyatakan bahawa perlakuan itu dilakukan dengan pengetahuannya atau pun ejennya.

"Pempetisyen juga gagal membuktikan bahawa individu berkenaan adalah ejen kepada responden sedangkan kenyataan yang dinyatakan dalam petisyen menyebut perlakuan salah laku itu dilakukan oleh ejen calon," katanya.

Pempetisyen diwakili kumpulan lima peguam yang diketuai Firoz Hussien Ahmad manakala Abdul Hadi diwakili kumpulan lima peguan yang diketuai Datuk Wan Abdul Mutalib Wan Embong.

Petisyen itu difailkan 28 Mac lalu bersama-sama petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dan DUN Rhu Rendang yang kesemuanya dimenangi PAS.

Petisyen itu difailkan berasaskan wujud unsur kekerasan dan suasana tidak aman serta tindakan tidak profesional penyokong Pas merampas kad pengenalan pengundi yang mencabul hak asasi dan menafikan hak rakyat untuk mengundi.

Sementara itu, Ahmad Ramzi ketika ditemui pemberita di luar kamar mahkamah berkata, beliau menerima keputusan itu dan akan mengkaji sama ada untuk mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan atau tidak.

Dalam Pilihan Raya Umum ke 12 lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menewaskan Ahmad Ramzi dengan majoriti 2,747 undi bagi kerusi Parlimen Marang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Teresa saman Utusan RM30 juta

Artikel Berikut

30 maut gempa bumi dekat Lhasa

Artikel Lain