suria

Lima wanita warga asing disyaki pelacur ditahan

PUCHONG: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menahan lima wanita rakyat asing dan seorang lelaki rakyat tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran dan rumah urut tanpa lesen dalam satu serbuan di Puchong Utama di sini hari ini.

Jurucakap MPSJ berkata serbuan itu yang disertai 19 anggota dan pegawai penguatkuasa MPSJ bersama lima anggota polis menyerbu sebuah rumah urut di sekitar Pusat Perniagaan Puchong Utama pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata empat wanita yang ditahan adalah rakyat Thailand dan seorang rakyat China manakala lelaki tempatan itu dipercayai penjaga wanita berkenaan.

"Kesemua mereka berusia dalam lingkungan umur 30-an. Maklumat awal mendapati wanita-wanita itu bukan sahaja mengurut tetapi turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pemeriksaan mendapati premis yang telah beroperasi sejak sebulan yang lalu dan mempunyai tujuh bilik itu, tidak mempunyai lesen perniagaan.

Kesemua yang ditahan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Teresa saman Utusan RM30 juta

Artikel Berikut

30 maut gempa bumi dekat Lhasa

Artikel Lain