suria

Bangkok tenang selepas rusuhan

BANGKOK: Keadaan kembali tenang di jalan menghala ke parlimen hari ini selepas rusuhan pada Selasa yang menyebabkan dua orang terbunuh dan lebih 430 cedera, apabila penunjuk perasaan anti kerajaan berpindah semula ke Rumah Kerajaan yang dihuni mereka sejak 26 Ogos.

Suriyasai Katasila, seorang daripada pemimpin utama Perikatan Demokrasi Rakyat (PAD) berkata mereka akan berada di Rumah Kerajaan kerana ia adalah simbol pentadbiran negara dan pejabat Perdana Menteri ditempatkan.

"Kami akan tetap berada di sini dan kami tidak akan mengalah dalam perjuangan kami. Mereka (kerajaan) mungkin mahu menyerang kami di sini tapi kami tidak takut," katanya kepada beribu-ribu orang yang berkumpul di Rumah Kerajaan malam tadi ketika polis rusuhan bertempur dengan penyokong PAD kira-kira satu kilometer dari situ.

Suriyasai turut memberitahu orang ramai yang berkumpul itu bahawa bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, yang digulingkan pada September 2006 selepas demonstrasi jalanan secara besar-besaran oleh PAD, akan menghadapi kesukaran untuk mendapat status pelarian di Britain berikutan kejadian itu.

Lebih 4,500 polis rusuhan dikerah ke ibu negara itu semalam untuk menyuraikan penyokong PAD yang mengepung bangunan parlimen dalam usaha mereka cuba menghalang ucapan sulung perdana menteri baru Somchai Wongsawat yang juga adik ipar Thaksin.

Bagaimanapun, ia berterusan sehingga tengah malam apabila beribu-ribu penyokong yang bersenjatakan objek tajam seperti paip PVC dan buluh bertembung dengan polis rusuhan di beberapa kawasan menghala ke parlimen.

Kerajaan bimbang PAD merancang untuk turut mengepung bangunan parlimen.

Kesudahannya, seorang wanita mati berikutan kecederaan akibat tembakan gas pemedih mata oleh polis, beberapa lagi hilang kaki dan seorang lelaki terbunuh selepas letupan bom tangan.

Kementerian Kesihatan Awam berkata sebanyak 437 orang cedera, termasuk empat anggota polis yang ditembak.

Timbalan perdana menteri Chavalit Yongchaiyudh, yang bertanggungjawab mengenai isu keselamatan, menyerahkan surat peletakan jawatan berikutan kejadian itu.

Pagi ini, polis menemui dua bom tangan berhampiran parlimen, bagaimanapun tidak tanda kekacauan lain.

Tandatanda ketegangan semakin ketara minggu lepas apabila dua pemimpin tinggi PAD bekas jeneral tentera Chamlong Srimuang dan Chaiwat Sinsuwongse ditahan.

Kejadian pada Selasa itu adalah yang paling buruk sejak PAD memulakan bantahan jalanan pada 22 Mei untuk menggulingkan kerajaan Samak Sundaravej yang mereka dakwa adalah proksi Thaksin.

Pada 2 Sept, darurat diistihar di ibu negara itu selepas penyokong pro dan anti kerajaan bertembung, menyebabkan seorang mati.

Jawatan Samak dilucutkan pada 9 Sept oleh Mahkamah Perlembagaan selepas mereka mendapatinya bersalah melanggar Perlembagaan dengan menjadi hos program masakan "Tasting and Grumbling and All Set at 6am" semasa memegang jawatan perdana menteri dan jawatan itu diganti oleh Somchai pada 17 Sept.

Di Rumah Kerajaan, beratus-ratus penyokong PAD daripada luar ibu negara tiba untuk memberi sokongan kepada pergerakan itu, kebanyakannya membawa topeng gas, pakaian basah dan botol air. BERNAMA

Artikel Sebelum

Teresa saman Utusan RM30 juta

Artikel Berikut

30 maut gempa bumi dekat Lhasa

Artikel Lain