suria

Nur Jazlan dicabar timbalan pertahan Ketua Bahagian Pulai

JOHOR BAHARU: Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang ingin bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan, bakal berhadapan tentangan sengit untuk mempertahankan jawatannya di bahagian terbabit.

Beliau akan ditentang oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pulai.

Setelah cawangan selesai mengadakan mesyuarat agung masingmasing baru ini, Nur Jazlan menerima 44 pencalonan manakala Osman pula memperoleh 35 pencalonan.

Osman, 56, yang dihubungi Bernama hari ini berkata, beliau yakin menang berdasarkan pengalamannya yang luas sebagai pemimpin akar umbi parti selama lebih 20 tahun.

"Saya merupakan Ketua Umno Cawangan Taman Tasik selama 22 tahun, anggota jawatankuasa bahagian selama 11 tahun, timbalan ketua Umno Bahagian dan ADUN Kempas selama tiga penggal," katanya.

Nur Jazlan, akauntan berusia 42 tahun dan merupakan anak kepada bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Mohamed Rahmat, membuat kejutan dua hari lepas apabila mengumumkan hasratnya merebut jawatan Timbalan Presiden Umno.

Selain beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Mohd Ali Rustam turut mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Osman berkata, beliau percaya langkah Nur Jazlan mengumumkan hasratnya bertanding jawatan Timbalan Presiden telah mendatangkan kesan buruk terhadap kempen Nur Jazlan untuk mempertahankan jawatan.

"Sebaliknya, pengumuman beliau itu telah memberikan kelebihan kepada saya," katanya. Umno Bahagian Pulai akan bermesyuarat pada 26 Oktober ini. BERNAMA

Artikel Lain