suria

Replika Anwar cetus reaksi pelbagai

KUALA LUMPUR: Replika gambar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim setinggi 12.2 meter di Batu Caves, Gombak menimbulkan tindak balas yang pelbagai di kalangan penduduk dan ahli politik dari dalam mahupun luar kawasan itu.

Bagi penduduk di kawasan tersebut yang kebanyakannya adalah penyokong Anwar dilihat tidak menentang pembinaan replika yang menelan kos hampir RM5,000.

Replika tersebut mula dipasang pada 28 September lalu.

Kebanyakan hujah yang dibangkitkan ialah berkaitan dengan soal agama kerana ia seolah-olah mendewakan Anwar.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Zainal Abidin Azim berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amirudin Shari menyerahkan replika yang dipasang di hadapan Wisma Keringat, Batu Caves bulan lalu telah mendapat kelulusan majlis.

"Saya rasa tak ada sebab replika tersebut dijadikan satu isu," katanya.

Bagaimanapun ADUN parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak bersetuju tindakan memasang replika tersebut kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

ADUN Kuang, Abdul Shukur Idrus berkata sebagai umat Islam, Amirudin sepatutnya lebih mengetahui mengenai perkara tersebut.

Katanya beliau sepatutnya berbincang dengan kumpulan agama seperti Pas bagi mendapatkan nasihat.

"Saya nak tahu mengenai pembinaan replika tersebut. Rakyat perlu menghakimi diri mereka sendiri kerana tidak sepatutnya wujud sebarang replika bagi mempengaruhi orang ramai.

"Dengan replika tersebut, ia menunjukkan bahawa PKR cuba mempromosikan diri mereka dengan sepanduk dan poster. Ia tak sepatutnya berlaku, biarkan rakyat dan masa menentukannya," katanya.

Sementara itu ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata pembinaan replika tersebut sebagai merugikan wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk diderma kepada golongan miskin pada bulan Ramadan lalu.

"Walaupun mereka mendakwa replika tersebut sekadar untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, ada banyak lagi cara lain yang boleh digunakan.

"lagipun semua orang tahu siapa itu Anwar Ibrahim," katanya.

Amirudin berkata replika tersebut adalah inisiatif daripada para aktivis dan reformis serta penduduk Dewan Undangan Negeri Batu Caves itu tidak mempunyai maksud lain selain untuk ucapan Selamat Hari Raya.

Menurut Amirudin, replika tersebut bukan sebuah patung dan ia akan diturunkan apabila tempoh waktunya tamat.

Artikel Berikut

Artikel Lain