suria

Kastam rampas 18kg ketamin bernilai RM635000

NILAI: Seorang lelaki rakyat India yang disyaki cuba membawa masuk dadah jenis ketamin ke negara ini ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lepas.

Turut dirampas daripada lelaki itu ialah 18kg ketamin bernilai RM635,000 yang disembunyikan di dalam pemanas air.

Timbalan Pengarah Kastam Mohd Subri Awang berkata lelaki berusia 42 tahun itu tiba di KLIA pada kira-kira pukul 8.20 pagi dengan pesawat dari Mumbai, India.

"Dalam pemeriksaan ke atas dua beg yang dibawanya, pegawai bertugas mengesyaki sesuatu yang aneh kerana satu daripada barangan yang dibawa ialah kotak yang mengandungi pemanas air.

"Pemeriksaan rapi ke atas pemanas air itu mendapati bahagian dalamnya terdapat selinder tembaga yang apabila diangkat ia lebih berat daripada biasa," katanya pada sidang akhbar di pejabat Cawangan Narkotik Kastam Diraja Malaysia Kampung Jijan dekat sini, hari ini.

Beliau berkata mengesyaki sesuatu, penumpang dan beg terbabit dibawa ke pejabat dan dirujuk kepada cawangan Narkotik dan pihaknya menemui dadah berkenaan selepas menebuk selinder itu.

"Lelaki rakyat India itu ditahan reman selama enam hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, pada 26 dan 28 Sept lepas, pegawai Kastam yang bertugas di pusat mel kurier KLIA mematahkan cubaan menyeludup 39,000 pil Eramin5 bernilai RM780,000 melalui dua bungkusan kiriman dari Taiwan yang dialamatkan ke Johor.

Mohd Subri berkata pil itu dimasukkan dalam paket makanan manakala hasil pemeriksaan mendapati alamat penerimaan di Johor adalah palsu.

"Kedua-dua kes rampasan ini dipercayai dari sindiket yang sama," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain