suria

Donald Lim Saya boleh berdiri sendiri

PETALING JAYA: Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim Siang Chai yang akan bertanding jawatan timbalan presiden parti pada pemilihan 18 Okt ini, tidak mahu bergabung dengan manamana calon untuk memenangi jawatan tersebut.

"Saya boleh berdiri sendiri dan saya tidak mahu sesiapa menjadi regu saya," kata bekas timbalan menteri pelancongan itu.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Lim berkata beliau juga tidak akan menerima pelantikan sebagai setiausaha agung dan bendahari agung dalam pembentukan jawatan baru parti.

"Saya sudah menjadi naib presiden, mengapa perlu saya memegang jawatanjawatan ini," katanya.

Pertandingan jawatan timbalan presiden dijangka sengit menerusi pertandingan tiga penjuru yang turut melibatkan setiausaha agung Datuk Seri Ong Ka Chuan dan bekas naib presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Lim dipilih sebagai salah seorang naib presiden MCA pada 2005.

Beliau gagal mempertahankan kerusi kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan pada pilihan raya umum lepas. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain