suria

Tindakan Hindraf pada rumah terbuka bukan budaya masyarakat India

KLANG: MIC tidak menyokong perbuatan anggota dan penyokong Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang menyerbu rumah terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menteri-menteri kabinet beragama Islam Rabu lepas kerana ia bukanlah budaya masyarakat India, kata Setiausaha Agungnya Datuk Dr S.Subramaniam.

"Ini bukan budaya kaum India dan ia bertentangan dengan apa yang kita sudah kenal sebagai budaya India dan saya berharap perkara seperti itu tidak akan berulang," katanya ketika mengulas berhubung tindakan penyokong Hindraf itu.

Beliau berharap tidak ada lagi pihak tertentu yang akan menggunakan majlis-majlis seperti itu sebagai batu loncatan politik mereka kerana sambutan rumah terbuka itu perlu dirayakan dalam satu suasana yang lebih positif.

Ini kerana rumah terbuka seperti yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra itu merupakan satu penghormatan kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk dirayakan bersama-sama dalam usaha meningkatkan perpaduan rakyat, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Etika Kerja anjuran Kementerian Sumber Manusia.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia berkata rumah terbuka bagi sesuatu perayaan bukan merupakan platform bagi tujuan kepentingan politik pihak tertentu.

Ketika ditanya dakwaan Hindraf bahawa laporan media berhubung tindakan mereka sebagai tidak benar dan berat sebelah, Dr Subramaniam berkata beliau telah meninggalkan majlis itu sebelum insiden itu berlaku tetapi ia menimbulkan perasaan tidak senang dan tidak selesa bagi penganjur acara itu.

"Perdana Menteri dan anggota Kabinet yang menganjurkan majlis itu berasa tidak selesa dengan apa yang berlaku terutama dengan pendekatan yang dilakukan mereka. Sesiapa sahaja yang menganjurkan majlis seperti itu sudah pasti mahu ia berjalan lancar supaya tetamu yang hadir dapat menikmati suasana perayaan tanpa sebarang gangguan," katanya.

Mengenai kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa tindakan Hindraf sebagai demokratik, Dr Subramaniam berkata: "hak demokrasi seperti membuat bantahan memang ada tetapi biarlah kena pada tempatnya".

Beliau berkata perkara yang diperjuangkan oleh HINDRAF untuk pembebasan kelima-lima pemimpin mereka yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) turut diperjuangkan oleh MIC melalui perbincangan dengan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Katanya wakil Hindraf sebelum ini telah pun bertemu dengan menteri yang berkaitan termasuk di Parlimen dan menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya tetapi suasana dan semangat perayaan pada hari rumah terbuka perlu dipelihara.

Beliau berkata MIC bukan sahaja memperjuangkan pembebasan pemimpin-pemimpin Hindraf tetapi masalah yang dihadapi oleh kaum itu termasuk dalam soal pendidikan, pembangunan sosial, perniagaan, isu ekuiti dan pekerjaan dalam sektor awam.

Ditanya sama ada pemimpin-pemimpin Hindraf akan dibebaskan sebelum Deepavali seperti yang digembar-gemburkan, beliau berkata pihaknya tidak tahu menahu mengenai keputusan sedemikian rupa dan khabar angin itu bukannya datang dari MIC. BERNAMA

Artikel Lain