suria

Susulan cipta rekod azam Kohilan bantu bentuk Malaysia tulen

TANGGAL 6 September lalu menjadi kenangan manis kepada Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Senator A. Kohilan Pillay apabila diumumkan sebagai Pengerusi Gerakan Selangor pada Persidangan Perwakilan Gerakan Selangor 2008. Beliau mencatat sejarah apabila menjadi pemimpin bukan Cina pertama yang menyandang jawatan Pengerusi Gerakan Negeri.

Setelah hampir 20 tahun aktif dalam Gerakan, Kohilan mahu terus berbakti dan memastikan ahli-ahli dalam Gerakan sentiasa bersatu dan mempunyai satu hala tuju yang jelas bagi memastikan parti itu akan terus menjadi sebuah parti berbilang kaum yang relevan. mStar Online berpeluang menemuramah Kohilan di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Bagaimana perasaan YB ketika diumumkan memenangi jawatan Pengerusi Gerakan Selangor?

KOHILAN: Sebelum bertanding, saya percaya perlu ada satu perubahan untuk Gerakan di negeri Selangor di mana saya sendiri telah menjadi ahlinya hampir 20 tahun. Dengan adanya ramai ahli yang bersetuju untuk membuat perubahan khususnya setelah 8 Mac, selepas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) khususnya Gerakan di Selangor di mana kita kalah untuk semua kerusi iaitu empat kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan satu kerusi Parlimen. Justeru ramai ahli percaya perlu ada perubahan dan saya telah dipilih mereka untuk melakukan perubahan itu. Sebelum itu, saya tidak terfikir untuk menjadi Pengerusi Negeri tapi mungkin masanya kini berpihak kepada saya yang mana saya telah diminta untuk bertanding. Saya telah dipilih untuk melakukan perubahan dan saya gembira untuk itu. Kini, kami termasuk semua AJK dah ahli mempunyai tanggungjawab yang berat untuk mengukuhkan semula Gerakan di Selangor menjadi sebuah pasukan yang kukuh. Mungkin sekarang kita nampak ada ahli yang tidak sehaluan dengan matlamat parti. Dengan adanya barisan muda yang baru ini, saya percaya semua akan kembali sehaluan dan akan membawa parti ini ke tahap yang membanggakan. Bukan hanya untuk memenangi kerusi tetapi untuk menjadi pasukan yang kuat yang berjuang untuk ideologi parti.

Adakah YB telah menyangka dari awal akan memenangi jawatan itu?

KOHILAN: Saya memang menjangka akan menang selepas melihat sokongan akar umbi kerana sebelum pemilihan tersebut berlangsung, kita mengadakan perundingan dengan kebanyakan pengerusi-pengerusi bahagian. Melalui rundingan itu, kira-kira 60 peratus mahukan perubahan, justeru saya berani untuk melakukan perubahan tersebut.

Adakah pemilihan YB sebagai Pengerusi Negeri mampu menyuntik semangat baru di kalangan ahli? KOHILAN: Di negeri Selangor, lebih kurang sembilan tahun kita tidak mengadakan pemilihan sebelum ini. Tiga tahun lalu, kita capai persefahaman supaya jawatan Pengerusi tidak dipertandingkan. Begitu juga dengan jawatan AJK, ada yang memberi laluan dan sebagainya. Jadi mungkin perubahan ini yang dinantikan oleh ahli-ahli Gerakan bagi setiap bahagian. Bila mereka kata mahu lakukan perubahan, saya pun menerimanya.

Adakah YB melihat kedudukan Gerakan sebelum ini tidak kukuh?

KOHILAN: Dulu kita kuat, bukan bererti kita tidak kuat tetapi mungkin kita keluar sedikit daripada ideologi kita. Jadi sekarang kita ada peluang untuk 'back to basic'. Kita mahu melihat bagaimana perjuangan parti di peringkat awal dan mengambil usaha untuk membentuk Malaysia tulen, maksudnya memegang ideologi parti sebagai sebuah parti yang berbilang kaum. Kita nampak jelas dalam pemilihan ini, walaupun parti ini majoritinya terdiri daripada kaum Cina iaitu 80 peratus di Selangor tetapi mereka tetap memilih saya (menjadi Pengerusi). Ini menunjukkan mereka tidak memilih pemimpin mengikut kaum.

Berdasarkan prestasi Gerakan yang merudum pada pilihan raya lalu, bagaimana YB melihat kepercayaan ahli-ahli kepada parti?

KOHILAN: Saya nampak mereka seperti tiada hala tuju. Oleh itu, adalah menjadi tugas kami untuk membawa atau memberitahu mereka tentang hala tuju parti selepas ini. Siri perjumpaan akan diadakan di bahagian-bahagian untuk menguatkan kembali semangat ahli-ahli sama ada di peringkat bahagian atau cawangan.

Seperti yang saya terangkan di dalam manifesto saya, saya akan memberi peluang kepada pengerusi-pengerusi cawangan dan bahagian untuk lebih lantang bersuara dan member idea-idea baru mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk menguatkan parti. Di dalam parti juga, kita wujudkan satu 'think-tank group' dan mengemaskini laman web Gerakan Selangor untuk menarik lebih ramai ahli menyertai parti. Selain itu, kita turut mengadakan 'White Coffee Talk', sebuah perbincangan yang diadakan setiap minggu di ibu pejabat Gerakan di Menara PGRM. Ia bukan sahaja perbincangan yang terhad kepada isu politik tetapi juga mengenai sosial, ekonomi dan hal ehwal semasa. Jadi, ini akan memberi peluang kepada ahli supaya lebih lantang dan berpengetahuan.

Selepas proses pemilihan parti bulan depan, sudah tentu kita akan buat 'brainstorming' dan memberitahu ahli-ahli apakah hala tuju kita. Saya percaya selepas itu, semua ahli akan lebih jelas dan akur tentang bagaimana perjuangan parti ini seharusnya berlaku. Kita perlu memenangi semula semua kerusi yang kita tewas dan pada masa yang sama, kita juga perlu menarik minat rakyat supaya mereka menerima Gerakan. Memang ini kali pertama Gerakan kalah teruk dalam pilihan raya umum. Kita pun tiada pengalaman menghadapi kekalahan sebelum ini. Tapi saya percaya, dengan penerangan mengenai hala tuju kepada ahli-ahli nanti, Gerakan akan menjadi parti yang lebih relevan dalam era global ini.

Pendapat YB mengenai kenyataan Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon (menang tanpa dicabar pada 4 Oktober) tentang mempertimbangkan kedudukan parti ini dalam BN?

KOHILAN: Saya percaya kalau BN kuat, anggota di bawahnya juga akan menjadi kuat kerana semua ini bergantung kepada parti induk. Dalam BN sendiri, memang perlu ada kod etika untuk memelihara keadaan dalam BN itu sendiri. Selama ini hubungan dalam BN begitu baik dan harmoni tetapi kenapa baru-baru ini, ia terjejas kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli BN sendiri yang tidak menyenangkan pihak lain. Kenyataan-kenyataan seperti ini tidak harus dikeluarkan dan jika ia terus dikeluarkan, satu tindakan harus diambil tidak kira daripada parti mana sekali pun. Bila adanya tindakan, barulah kita boleh kekalkan keharmonian dalam BN.

Apa perubahan yang diharap oleh Gerakan dalam BN?

KOHILAN: Dalam BN sendiri, kita mesti lebih fokus dengan ekonomi, bukan hanya tertumpu kepada satu-satu perkara. Kita banyak membincangkan tentang peralihan kuasa dan sebagainya tetapi ekonomi juga harus kita berikan tumpuan yang lebih kerana ia melibatkan rakyat. Bagaimanapun, BN kini sudah menubuhkan jawatankuasa untuk memperkasa dan menjenama semula BN dan itu merupakan satu berita baik. Inilah perubahan yang kita harapkan dalam BN.

Gerakan dilihat begitu lantang dalam membuat kenyataan selepas pilihan raya umum yang lalu. Apa komen YB? KOHILAN:

Sekarang kita memang lebih lantang dan dan saya rasa, kita perlu lebih lantang lagi dalam apa jua masalah tetapi dalam kelantangan itu, janganlah pula sehingga menyentuh sensitiviti kaum-kaum lain termasuk mengenai agama dan bangsa kerana perkara-perkara itu tidak boleh dikaitkan dengan politik.

Mungkinkah kelantangan parti-parti komponen dalam menyuarakan pendapat mereka yang kadangkala berbeza antara satu sama lain akan menyebabkan orang di luar melihat BN tidak sehaluan? Ada sesetengah perkara yang mereka boleh dibawa berbincang dan diselesaikan dalam BN sendiri dan tidak semestinya diberitahu kepada media. Bagaimanapun, dalam memberi pandangan, saya lihat tidak salah tetapi biarlah ia sebelum mesyuarat (Majlis Tertinggi BN) berlangsung. Selepas mesyuarat, kita kena akur dengan keputusan yang dibuat oleh komponen BN. Isu ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) contohnya, ada yang kata perlu dimansuh dan ada yang kata perlu dikaji semula. Tapi bagi saya sendiri, ISA perlu dikaji semula kerana terdapat beberapa peruntukan dalam ISA yang sudah ketinggalan zaman berdasarkan keadaan pada masa ini.

Selepas kekalahan pilihan raya umum lalu, adakah YB merasakan Gerakan memerlukan kepimpinan baru secara menyeluruh?

KOHILAN: Kebanyakan pemimpin Gerakan yang baru bagi negeri kini adalah muka baru. Saya rasa ini sudah cukup dan pada pemilihan akan datang, saya percaya, akan banyak lagi muka baru yang muncul untuk memimpin parti mengikut 'selera' ahli.

Apa perubahan yang ingin YB bawa dalam Gerakan?

KOHILAN: Saya mahu memastikan parti menjadi yang lebih relevan yang menerima semua ahli berbilang kaum. Kita berjuang untuk rakyat Malaysia, maksudnya bukan berasaskan kepada satu-satu kaum sahaja. Gerakan adalah satu parti untuk semua kaum dan ia merupakan ideologi yang amat baik. Itulah sebab utama saya menyertai Gerakan. Walaupun saya berbangsa India tetapi saya boleh bercakap bukan hanya untuk kaum saya tetapi juga bagi pihak kaum Cina, Melayu dan orang Asli. Itulah keistimewaan menjadi ahli Gerakan.

Artikel Lain