suria

Shahrir tidak akan bertanding jawatan tertinggi

JOHOR BAHRU: Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Shahrir Abdul Samad berkata beliau tidak akan turut serta dalam perlumbaan merebut jawatan tertinggi parti itu tetapi hanya akan mempertahankan jawatan parti yang disandangnya sekarang.

Pada usia 59 tahun, Shahrir berpendapat sudah agak terlambat bagi beliau bertanding jawatan tertinggi parti ketika parti itu memerlukan perubahan yang meremajakannya semula bagi menarik sokongan golongan muda.

"Sekiranya mendapat sokongan daripada akar umbi, saya bolehlah menawarkan diri untuk jawatan MT," katanya ketika ditemui pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri beliau di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Beliau berpendapat bahawa seseorang itu dapat menyumbangkan khidmatnya terhadap parti dan kerajaan tanpa mengira jawatan yang dipegangnya.

Shahrir yang juga

Ketua UMNO Bahagian Johor Baharu itu berkata demikian ketika ditanya mengenai jawatan yang akan ditandinginya pada pemilihan parti Mac tahun depan.

"Saya tidak mengejar jawatan tapi apabila jawatan mengejar saya, saya tidak boleh lari daripada tanggungjawab yang diberikan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, UMNO sekarang berada di satu persimpangan di mana pemimpin dan anggota parti itu harus membuat keputusan bijak berhubung pemilihan jawatan tertinggi parti.

Katanya, UMNO tidak boleh terperangkap dalam keadaan birokrasi yang lahir akibat daripada perbuatan mementingkan senioriti atau hierarki yang akan menghalang usaha meremajakan bakti parti kepada rakyat sehingga menyebabkan hilangnya sokongan khasnya daripada golongan muda.

Setakat ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam yang juga Naib Presiden UMNO menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden pada Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual pada Mac tahun depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyidin Yassin yang juga Naib Presiden UMNO dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang juga Ketua Penerangan UMNO akan mengumumkan keputusan mereka selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga presiden parti mengumumkan sama ada akan bertanding mempertahankan jawatan itu atau sebaliknya pada Khamis ini. BERNAMA

Artikel Lain