suria

Pelaksanaan satu parti tunggal tidak boleh menjadi kenyataan dalam masa singkat

KUALA LUMPUR: Cadangan supaya semua parti komponen Barisan Nasional (BN ) bergabung sebagai satu parti tunggal tidak boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat kerana ia melibatkan banyak proses, kata Naib Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat hari ini.

Beliau berkata "impian" tersebut perlu dikaji dan diteliti termasuk mengenalpasti rintangan yang bakal dihadapi untuk menjadikanya satu kenyataan.

"Biasanya jika cadangan sebegitu, jika dapat diterima, ia perlu dikaji dan ini akan memakan masa untuk dilaksanakan kerana ia mesti mendapat mandat daripada semua parti yang terlibat kerana cadangan ini melibatkan banyak proses...bukan hari ini cakap, esok boleh dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Penyelidikan dan Pelajaran Zheng He, ISBA UK Thinking Skills College and Academy di Bangunan Pasarama Kota, di sini.

Katanya apa saja cadangan dan pandangan yang dicetuskan parti komponen BN boleh diterokai dan adalah penting untuk mengenalpasti butir-butir terperinci tentang cadangan itu dan bagaimana ia boleh dilaksanakan.

Beliau mengulas cadangan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas semalam agar semua parti komponen BN dibubarkan dan dicantum sebagai satu parti tunggal.

Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, ketika diminta mengulas cadangan supaya Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) menukar laluan kapalnya ekoran rampasan dua kapal syarikat itu di perairan Somalia bulan lepas, berkata kementerian itu hanya boleh membuat cadangan tetapi keputusan mutlak terletak pada MISC.

"Kita tidak boleh memberi arahan kepada MISC kerana mereka adalah sebuah entiti tersendiri yang membuat keputusan berasaskan kepentingan komersial dan keselamatan...pada akhirnya ia adalah keputusan mereka," katanya.

Ong yang turut diminta mengulas mengenai keberkesanan Ops Sikap yang bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri kali ini, berkata beliau dan pegawainya akan membuat penilaian dan kesimpulan tentang keberkesanan kempen tersebut.

"Ia bukan sekadar melihat statistik di jalan raya dalam tempoh tertentu berbanding tahun sebelumnya...sebenarnya kesannya bukan tidak ada, hanya dari segi bilangan kes kematian memang ada turun, naik dan jangan lupa yang kita juga ada daya usaha baru yang kita nak pastikan keberkesanannya," katanya.

Di KUCHING, Anggota Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Bolhassan Di berkata BN belum bersedia menubuhkan satu parti politik tunggal sehingga tiba masanya apabila semua parti komponen BN berkongsi ideologi politik yang sama.

"Bahkan cadangan untuk menggabungkan dua parti komponen BN Sarawak mengambil masa untuk mengkajinya," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muha.mad Salahuddin Abang Barieng ke rumah terbukanya di sini hari ini.

"Jika kita memaksa satu idea baru, satu format politik baru kepada orang ramai dan apabila kita tidak bersedia, bencana akan berlaku. Kita hendaklah maju secara perlahan-lahan selaras dengan perkembangan semula jadi bagi rakyat berbilang bangsa," katanya.

"Ia baik ada (parti politik tunggal)? Ia boleh dibahaskan dalam konteks Malaysia. Mungkin dalam masa 20 tahun akan datang apabila orang ramai berfikiran seperti itu dan sehingga tiba masanya tidak mampu mempunyai satu parti politik pelbagai bangsa...Belum lagi," katanya.

Bagaimanapun, katanya semua parti komponen BN sudah berada di bawah payung BN, iaitu satu bentuk penggabungan dengan mengambilkira keperluan pelbagai bangsa dan budaya minda yang berlainan peringkat serta latar belakang ekonomi dan pendidikan yang berbeza.

PBB, tulang belakang parti campuran BN negeri ialah sebuah parti politik pelbagai kaum dengan keanggotaan daripada berbagai-bagai Muslim dan bukan Muslim Bumiputera di Sarawak.

Sementara itu, Bolhassan, yang juga Menteri Muda Maklumat Teknologi Sarawak berkata kerajaan negeri merancang meningkatkan perkhidmatan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar antara 70 dan 80 peratus dalam masa beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata perhubungan ICT akan disediakan oleh Sacofa Sdn Bhd (Sacofa), sebuah syarikat infastruktur komunikasi milik kerajaan negeri dan rakan niaganya.

Setakat ini tidak mungkin memperoleh 100 peratus hubungan jalur lebar di seluruh Sarawak selagi perkhidmatan satelit digunakan bagi menerima dan menghantar semboyan kepada penduduk di kawasan pedalaman seperti Ulu Kapit, Ulu Belaga, Ulu Katibas atau Ulu Krian, kata beliau.

Di REMBAU, Negeri Sembilan, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata cadangan untuk menjadikan BN sebagai satu parti tunggal mempunyai kelebihannya dari segi menarik minat daripada segenap lapisan masyarakat.

Bagaimanapun katanya ia mungkin dimulakan dulu dengan parti komponen dalam BN yang terdapat konsep berbilang kaum seperti Gerakan dan PPP.

"Di sini kita kena tanya kenapa Gerakan tidak dapat berjaya untuk menarik lebih ramai lagi ahli contohnya daripada kalangan kaum Melayu dan India. Gerakan didapati masih lagi majoriti ahlinya terdiri daripada kaum Cina. Dan begitu juga PPP di mana parti itu masih lagi tidak menggambarkan parti pelbagai bangsa yang sebenar.

"Jadi mungkin langkah pertama kita adalah untuk kita memperkukuhkan lagi parti-parti berbilang kaum yang terdapat dalam BN seperti Gerakan dan PPP serta LDP di Sabah dan sebagainya. Sesudah itu barulah kita boleh melihat perubahan yang dikehendaki oleh mereka yang membuat cadangan tersebut," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka beliau sempena Hari Raya Aidilfitri di Balairaya Kampong Gadong, Kota, dekat sini, hari ini.

Khairy yang juga anggota Parlimen Rembau berkata satu lagi cadangan yang pernah diutarakan adalah BN itu sendiri perlu adakan banyak program bersama.

"Mungkin selama ini kita tidak ada program bersama BN.

"BN ini terlalu banyak program diadakan semasa pilihan raya tetapi selepas pilihan raya kita bergerak sendirian di mana Umno dengan Umno, MCA dengan MCA dan MIC dengan MIC. Kita tidak ada gerakan bersepadu.

"Mungkin langkah pertama kita memperkukuhkan lagi sekretariat atau pun pejabat BN agar program-program dijalankan di bawah naungan BN, bukan hanya di bawah naungan parti masing-masing," katanya.

Khairy berkata realiti politik buat masa ini adalah sukar untuk bergerak ke arah menyatupadukan parti-parti komponen BN dalam satu parti sebab masih lagi ada isu berdasarkan perkauman dan sebagainya.

"Tetapi saya rasa wawasan untuk mengadakan satu parti BN adalah satu cadangan yang baik. Walaupun sukar untuk kita lakukan perkara ini dalam masa terdekat," katanya.

"Mungkin selama ini kita tidak ada program bersama BN.

"BN ini terlalu banyak program diadakan semasa pilihan raya tetapi selepas pilihan raya kita bergerak sendirian di mana Umno dengan Umno, MCA dengan MCA dan MIC dengan MIC. Kita tidak ada gerakan bersepadu.

"Mungkin langkah pertama kita memperkukuhkan lagi sekretariat atau pun pejabat BN agar program-program dijalankan di bawah naungan BN, bukan hanya di bawah naungan parti masing-masing," katanya.

Khairy berkata realiti politik buat masa ini adalah sukar untuk bergerak ke arah menyatupadukan parti-parti komponen BN dalam satu parti sebab masih lagi ada isu berdasarkan perkauman dan sebagainya.

"Tetapi saya rasa wawasan untuk mengadakan satu parti BN adalah satu cadangan yang baik. Walaupun sukar untuk kita lakukan perkara ini dalam masa terdekat," katanya. BERNAMA

Artikel Lain