suria

Koh Tsu Koon diminta pulihkan semula hubungan dengan Umno Pulau Pinang

NIBONG TEBAL: Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berharap Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dapat melakukan sesuatu bagi memulihkan semula hubungan dengan UMNO negeri itu yang terjejas sebelum ini.

Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah berkata usaha itu perlu dibuat memandangkan sebelum ini parti itu telah mengeluarkan pelbagai kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hubungan antara UMNO Pulau Pinang dan Gerakan ketika ini berikutan pengumuman Dr Koh bulan lalu bahawa parti itu memutuskan hubungan dengan UMNO negeri berkaitan isu bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

"Saya rasa kita perlu cari jalan untuk memastikan masyarakat Melayu, Cina dan India terus bersatu di bawah Barisan Nasional," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Nibong Tebal di Dewan Serbaguna Jawi, di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Rashid yang tidak akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal berkata keputusan telah dicapai supaya jawatan Ketua Bahagian itu diserahkan kepada bekas Anggota Parlimen Nibong Tebal Datuk Zainal Abidin Osman manakala Timbalannya kekal kepada Datuk Mahmud Zakaria dan Naib Ketua kepada Datuk Ahmad Ramizun Kamaruddin.

Katanya, jawatan Ketua Pergerakan Wanita pula terus disandang Sofiah Sharif dan Pergerakan Puteri oleh Jamilah Awang.

Bagaimanapun, katanya, penyandang Ketua Pergerakan Pemuda, Shafie Kassim tidak mempertahankan jawatan itu kerana melebihi had umur yang ditetapkan dan digantikan oleh Naibnya, Roshidi Zainol. BERNAMA

Artikel Lain