suria

Ketua Umno Pokok Sena pula tawarkan diri tanding kerusi MT

POKOK SENA: Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin hari ini menawarkan diri bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung Mac tahun depan.

Ahmad, 50, berbuat demikian atas alasan mahu membawa perubahan dalam parti khususnya pada peringkat negeri dengan matlamat utamanya bagi menjayakan proses penjenamaan semula UMNO di peringkat akar umbi sehingga pucuk pimpinan.

"Saya menawarkan diri bertanding kerusi MT supaya dapat memainkan peranan lebih berkesan selepas melihat kedudukan UMNO Kedah yang semakin lemah selepas kalah dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di rumahnya di sini.

Dengan penyertaan Ahmad, seramai enam orang calon dari Kedah menawarkan diri bertanding kerusi MT yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Empat calon lagi ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu Datuk Wira Mohd Johari Baharom, Ketua Bahagian Kulim Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Azimi Daim dan Pengerusi Putera UMNO Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ahmad menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian itu sejak menerajuinya pada 1998 dan pernah menjadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia selama sepenggal mulai 1993 dan anggota Exco kerajaan Kedah dari 1995-1999.

Beliau berkata restu Badan Perhubungan UMNO Kedah tidak penting kerana perwakilan dari negeri-negeri ke perhimpunan itu kelak yang akan menentukan keputusannya.

Katanya beliau telah meninjau pendapat rakan-rakannya termasuk anggota di peringkat akar umbi di beberapa buah negeri khususnya negeri di utara dan Johor selama lebih lapan bulan sebelum membuat keputusan itu. BERNAMA

Artikel Lain