suria

Wakil Melayu pertama tanding naib presiden Gerakan

KUALA LUMPUR: Ahli jawatankuasa Gerakan Selangor, Dr. Asharuddin Ahmad, 49 mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kaum Melayu pertama yang bertanding jawatan naib presiden.

Beliau yang juga setiausaha bahagian Kuala Selangor mengambil keputusan untuk bertanding jawatan itu setelah mendapat sokongan akar umbi yang kuat dan yakin dengan ideologi Gerakan yang berjuang untuk rakyat Malaysia.

"Pengasas parti Gerakan juga adalah orang Melayu iaitu Dr. Syed Hussein (Alatas).

"Ramai yang menganggap Gerakan adalah parti kaum Cina..bukan, ini adalah parti pelbagai kaum yang memperjuangkan satu bangsa dan budaya Malaysia," katanya pada hari penamaan pemilihan badan induk Gerakan di Menara PGRM di sini, hari ini.

Asharuddin yang menyertai Gerakan sejak 10 tahun lalu berkata, beliau percaya mampu menyumbang sebagai naib presiden dan akan berusaha untuk menarik lebih ramai kaum Melayu menyertai parti itu.

"Gerakan adalah parti yang kecil tetapi kuat dan berbilang kaum. Saya tidak galakkan parti untuk satu kaum (merujuk kepada Umno) kerana Melayu sekarang bukan Melayu dahulu. Melayu kini Melayu glokal dan kita nak berdaya saing," katanya.

Ditanya mengenai keyakinannya untuk menang jawatan naib presiden memandangkan beliau kurang dikenali, Asharuddin berkata, beliau berharap akan menang kerana beliau dikenali di kalangan ahli akar umbi dan kini beliau mempunyai peluang untuk bertanding.

Sementara, Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon menyifatkan kesediaan Asharuddin untuk bertanding salah satu jawatan naib presiden sebagai satu perkembangan positif kerana ia menunjukkan parti itu adalah sebuah parti pelbagai kaum dan bukan hanya terhad kepada peringkat pemuda dan wanita tetapi juga kepimpinan pusat.

Artikel Lain