suria

Pemimpin berhasrat tanding Timbalan Presiden meningkat

PETALING JAYA: Persidangan perwakilan bahagian belum bermula. Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga belum mengumumkan pendiriannya.

Bagaimanapun persaingan untuk jawatan Timbalan Presiden Umno semakin 'rancak' dengan bilangan pemimpin yang berhasrat bertanding kerusi makin bertambah.

Sehingga semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan tersebut.

Bagaimanapun Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah dicalonkan tiga bahagian mahu menunggu 'lampu hijau' daripada pengumuman Abdullah sebelum 9 Oktober ini.

Turut disebut-sebut ialah bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad.

mStar Online difahamkan kedua-dua bekas Menteri Besar sudah pun didampingi penyokong-penyokongnya supaya 'mara'ke jawatan lebih tinggi.

Difahamkan perbincangan-perbincangan sudah diadakan sejak minggu lalu bagi membolehkan Muhammad dan Isa bergerak bagi mendapatkan pencalonan.

Isa yang mendapat undi tertinggi dalam percubaan Naib Presiden pada 2004 ketika dihubungi enggan mengesahkan sama ada beliau berhasrat merebut jawatan Timbalan Presiden.

"Saya tidak kata apa-apa sekarang... tunggu dua, tiga hari ini, saya akan membuat kenyataan," kata beliau yang hukuman gantung keahlian tiga tahun ke atasnya berakhir Julai lalu.

Tempoh dua, tiga hari itu dilihat merujuk kepada pengumuman Abdullah sama ada mahu mempertahankan kerusi Presiden ataupun sebaliknya.

Muhammad pula berkata, beliau mahu menunggu perkembangan sehingga minggu depan apabila Abdullah mengumumkan pendirian beliau.

"Kita kena menghormati institusi Presiden kerana Presiden belum membuat keputusan.

"Kita tunggu dulu, kita tunggu dulu Presiden parti buat keputusan. Tidak molek mengumumkan sekarang," katanya.

Turut disebut-sebut ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ali Rustam pula berkata, beliau bersedia untuk bertanding jika ada sokongan.

"Saya sedia menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden apabila ada kekosongan," kata Ketua Menteri Melaka ketika dihubungi.

Bagaimanapun anggota MT ini ketika dihubungi mStar Online menolak desas-desus sedemikian.

"Tidak, saya dah tua. Biarlah orang muda yang bertanding," kata beliau yang turut menolak akan bertanding Naib Presiden.

Nama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique juga disebut-sebut sebagai bakal calon kerusi nombor dua.

Bagaimanapun ketika ditemui wartawan hari ini, beliau berkata: "Keputusan akhir akan diputuskan sebelum 9 Oktober... saya mengatakan biar tunggu hingga Datuk Seri (Abdullah) membuat keputusan terlebih dahulu."

Sementara itu, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang pada minggu lalu menyifatkan kemungkinan ada 'kuda gelap' dalam pemilihan kali ini tidak menolak akan ada lebih ramai pemimpin yang bakal mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno memandangkan pengisian untuk jawatan kedua tertinggi itu masih tidak jelas.

Kata Shabery, apabila membincangkan tentang peralihan kuasa, ia hanya membabitkan jawatan Presiden iaitu daripada Abdullah kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

"Saya menjangka akan ada lebih lagi (calon) yang akan menyatakan hasrat mereka untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden (Umno) memandangkan peralihan kuasa hanya dapat dilihat dengan jelas pada jawatan nombor satu (Presiden)... siapa yang ganti Pak Lah tetapi kita tidak jelas tentang siapa yang akan jadi nombor dua," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Shabery berkata, hasrat untuk bertanding jawatan itu berkemungkinan tidak terhad hanya daripada kalangan yang menjawat jawatan tinggi termasuk Naib Presien sahaja tetapi juga di kalangan anggota MT.

"Bagaimanapun, semua yang mengumumkan hasrat mereka itu mesti mempunyai sebab yang kukuh mengapa mereka ingin bertanding," katanya.

Ditanya sama ada Zahid adalah salah satu 'kuda hitam' yang dimaksudkannya, Shabery berkata, ia terpulang setiap orang untuk menginterpretasi makna 'kuda hitam' itu.

"Boleh jadi beliau adalah 'kuda hitam' itu tetapi ia terpulang bagaimana tafsiran setiap orang terhadap makna 'kuda hitam' itu.

"Maksud 'kuda hitam' bagi saya adalah orang yang anda tidak sangka akan bertanding kerana kita selalunya hanya fokus kepada calon yang 'hot' dan 'favorite' sahaja," katanya.

Shabery berkata, pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden itu perlu dilihat secara terbuka dan apa yang penting adalah cara seseorang yang mahu bertanding itu membawa diri dalam pertandingan itu.

Artikel Lain