suria

MalaysiaSingapura setuju kenakan bayaran rendah guna telefon bimbit

SEREMBAN: Malaysia dan Singapura bersetuju mengenakan bayaran rendah untuk penggunaan telefon bimbit bagi menggalakkan rakyat kedua-dua negara berhubung sesama mereka.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata persetujuan itu dicapai semasa perjumpaan beliau dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura, Dr Lee Boon Yang di Bali, Indonesia, baru-baru ini.

Shaziman berkata pada pertemuan itu, beliau telah meminta bayaran perayauan diturunkan dan ini telah dipersetujui oleh rakan sejawat beliau itu.

"Selama ini panggilan menggunakan telefon bimbit ke Singapura dikenakan bayaran yang agak tinggi," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Kampung Tanjung, Rantau, dekat sini hari ini.

Anggota Parlimen Tampin itu berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Telekomunikasi Singapura itu dan beliau bersetuju supaya negara anggota Asean mengenakan bayaran yang rendah untuk penggunaan telefon bimbit sesama negara anggota.

Shaziman berkata sebagai langkah awal, beliau minta Malaysia dan Singapura memulakan usaha itu sebelum diperluaskan ke negara Asean yang lain.

"Langkah ini sudah pasti memberi manfaat besar kepada ramai pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura serta rakyat Singapura yang selalu berkunjung ke negara ini. Ini secara langsung akan memberi banyak kebaikan kepada rakyat keduadua negara kerana dapat membuat panggilan yang lebih murah.

"Saya telah minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia memulakan perbincangan dengan agensi yang bertanggungjawab menjaga telekomunikasi di Singapura," katanya.

Shaziman berkata beliau juga telah memaklumkan perkara ini kepada syarikat telekomunikasi di negara ini dan mereka memberi sokongan yang menggalakkan.

Beliau berharap pelaksanaannya dapat dilakukan pada kadar segera atau awal tahun depan. BERNAMA

Artikel Lain