Suhakam Tubuh unit khas siasat mereka tidak bernegara - Semasa | mStar

Suhakam Tubuh unit khas siasat mereka tidak bernegara

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mahu kerajaan membentuk satu pasukan petugas khas untuk mengkaji rakyat Malaysia dengan status tidak bernegara.

Pesuruhjaya Suhakam Datuk N.Siva Subramaniam berkata pasukan petugas itu khasnya mesti meneliti masalah teras dan yang lain seperti dokumentasi untuk menyelesaikannya.

Beliau berkata isu itu perlu ditangani segera.

"Adalah menyedihkan apabila mendapat tahu sekarang ini ada antara rakyat Malaysia yang masih tidak memiliki dokumen pengenalan.

"Ini pencabulan hak asasi manusia memandangkan tiada rakyat Malaysia harus dinafikan hak kewarganegaraan," kata beliau apabila diminta mengulas kes-kes rakyat Malaysia tidak bernegara yang mendapat perhatian sejak kebelakangan ini. Baru-baru ini, seorang pekerja rencam P.Ragu dari Johor terpaksa ke Perak bersama keluarganya untuk meminta bantuan Sultan Perak bagi mendapatkan MyKad, selepas bergantung kepada dokumen pengenalan sementara sejak 1998.

Setiausaha Agung MIC Datuk Dr S. Subramaniam menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya 20,000 rakyat Malaysia keturunan India masih tidak mempunyai dokumen pengenalan yang sah.

Subramaniam berkata ini mungkin sebahagian kecil daripada bilangan yang lebih besar.

Beliau berkata Suhakam pernah mengendalikan kes-kes seperti ini sebelum ini dan setiap kali Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menjawab proses mendapatkan dokumen pengenalan adalah rumit dan mengambil masa yang lama.

"Masalah ini sudah lama berlarutan dan nampaknya tiada usaha serius yang diambil untuk menyelesaikannya.

"Jika masalah ini berpunca kerana sistem atau birokrasi, maka sistem perlu ditukar atau prosedur perlu dipermudah. Jangan menyusahkan orang ramai," katanya.

Beliau mencadangkan agar JPN menggajikan lebih ramai pegawai yang mahir dalam dialek-dialek tempatan untuk membantu warga tempatan mendaftar.

Subramaniam berkata terdapat keperluan untuk mengadakan lebih banyak program kesedaran dan pendidikan akan mengapa penting bagi ibu bapa mendaftar identiti anak-anak mereka, khasnya di luar bandar.

Sementara itu, Siva berkata Suhakam juga akan menyiasat satu lagi kes di mana seorang wanita CinaKadazan berusia 78 tahun di Penampang diberi kad pengenalan merah dengan status pemastautin tetap selepas beliau hilang kad pengenalan birunya.

"Perkara seperti itu sepatutnya tidak berlaku. Ini menunjukkan JPN kurang cekap. Bagaimana mereka boleh merampas kewarganegaraan seorang rakyat Malaysia," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

Artikel Lain

Nelayan temui duit dalam perut ikan

Messi gantung but 2021?