suria

Sekolah digesa ambil kira Deepavali bila tetapkan hari peperiksaan

KUALA LUMPUR: Semua pengetua sekolah dinasihatkan supaya memastikan tarikh peperiksaan akhir tahun tidak diadakan serentak dengan perayaan Deepavali tahun ini.

Ketua pengarah pendidikan, Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata, pihak berkuasa sekolah hendaklah memberikan pertimbangan terhadap perasaan masyarakat India yang akan menyambut Deepavali pada 27 Oktober, sebelum menetapkan tarikh bagi peperiksaan akhir tahun.

"Pengetua sekolah hendaklah mencari jalan bagaimana mengelakkan pertembungan menghadapi peperiksaan dan perayaan. Yang paling baik ialah memulakan peperiksaan seminggu selepas Deepavali.

"Ini adalah masalah dalaman sekolah dan bukan satu isu besar. Pengetuai sekolah boleh menetapkan tarikh peperiksaan seminggu selepas perayaan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang meminta Kementerian Pendidikan untuk mengubah tarikh peperiksaan akhir tahun sekolah supaya ia tidak diadakan serentak dengan perayaan Deepavali.

Alimuddin juga menjelaskan bahawa kedua-dua peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak diadakan serentak dengan perayaan Deepavali pada tahun ini.

"PMR berakhir pada 17 Oktober manakala SPM bermula pada 5 November dan ini tidak menjejaskan tarikh perayaan," kata beliau.

Sementara itu, katanya beliau hari ini menerima panggilan telefon daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah, meminta Kementerian Pendidikan mengubah tarikh peperiksaan akhir tahun pada satu tarikh yang tidak menjejaskan perayaan Deepavali. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain