suria

Puteri Akar Umno perlu diberi penjelasan peralihan kuasa

KUALA LUMPUR: Penjelasan mengenai peralihan pucuk pimpinan Umno perlu diberi kepada semua peringkat parti khususnya akar umbi kerana kebanyakkan mereka masih kabur mengenai keadaan sebenar perkara tersebut.

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad berkata sayap itu menyambut baik kenyataan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa beliau akan bertemu semua pemimpin komponen parti Barisan Nasional (BN) untuk menjelaskan peralihan kuasa antara beliau dan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak timbul sebarang kekeliruan atau salah faham.

Noraini berkata, anggota parti peringkat akar umbi hanya mendengar tentang peralihan pucuk kepimpinan Umno melalui media elektronik dan cetak.

"Kita tidak mahu akar umbi tidak jelas mengenai keadaan sebenar sehingga membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan mencetuskan pelbagai spekulasi dan rumusan negatif mengenai apa yang berlaku dalam Umno," tegas beliau dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mencadangkan agar majlis penerangan di semua peringkat dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri bagi menangkis tanggapan berlaku krisis dan perpecahan dalam parti dan seterusnya menyumbang ke arah melicinkan lagi proses peralihan kuasa dalam parti.

Pada 26 September lalu, Abdullah mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno bahawa Perhimpunan Agung parti, yang pada asalnya dijadualkan pada 16 Disember, ditunda Mac depan untuk melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Noraini juga menjelaskan walaupun keputusan MT, parti perlu dihormati oleh semua pihak, tetapi hak anggota untuk mendapatkan penerangan sejelas mungkin mengenai perkembangan terkini dalam parti termasuk proses peralihan kuasa tidak harus diketepikan.

Beliau berkata, Puteri Umno bersedia turun padang untuk memberi penerangan tentang perkembangan terkini dalam parti demi menjamin perpaduan dan keutuhan parti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain