suria

Persidangan tahunan tidak bahas usul gesa Gerakan keluar BN

KUALA LUMPUR: Gerakan yang akan mengadakan Persidangan Perwakilan Kebangsaan yang pertama sejak pilihan raya umum Mac lalu tidak akan membahaskan sebarang usul menggesa parti itu keluar Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Seri Chia Kwang Chye berkata, ibu pejabat parti tidak menerima sebarang usul sedemikian daripada mana-mana negeri.

"Itu tidak bermakna isu itu tidak akan dibangkitkan.

"Kami serahkannya kepada perwakilan," kata Chia ketika sidang media di Menara PGRM, di sini, hari ini.

Gerakan akan mengadakan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Ke-37 pada 11 dan 12 Oktober ini dengan tema "Together we move forward" yang akan dihadiri oleh 2,081 perwakilan yang layak.

Hanya sehari akan diperuntukkan untuk membahaskan ucapan dasar Presiden manakala hari kedua diperuntukkan untuk meluluskan resolusi-resolusi berhubung lima perkara iaitu hak asasi manusia, politik, ekonomi, hal ehwal parti dan pendidikan.

"Sebelum ini, selama dua hari diperuntukkan untuk membahaskan ucapan Presiden.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna perkara mengenai sama ada Gerakan akan meninggalkan BN tidak akan dibangkitkan semasa persidangan perwakilan," katanya.

Beliau berkata, perwakilan mungkin akan membangkitkan perkara itu untuk dibahaskan semasa persidangan.

Ditanya sama ada satu Mesyuarat Agung (EGM) akan diadakan untuk membincangkan perkara itu, Chia berkata, hal itu itu terpulang kepada jawatankuasa pusat yang baru untuk memutuskan.

Chia berkata, Perak mempunyai jumlah perwakilan tertinggi iaitu 332 orang (16 peratus) diikuti Johor (330 - 15.9 peratus), Selangor (280 - 13.5 peratus), Pulau Pinang (251 - 12 peratus) dan diikuti negeri-negeri lain.

Beliau berkata, di peringkat negeri, lima pengerusi perhubungan (42 peratus) telah memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding sementara tujuh lagi (58 peratus) menang bertanding.

Terdapat tujuh (58 peratus) pengerusi perhubungan negeri yang baru sementara lima lagi (42 peratus) adalah penyandang asal.

Negeri-negeri yang diwakili oleh pengerusi baru adalah Selangor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, Chia berkata, sebanyak 1,404 cawangan telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dan pemilihan mereka.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,398 (99.6 peratus) pengerusi cawangan menang tanpa bertanding sementara enam lagi (0.4 peratus) menang bertanding.

"Terdapat 323 (23 peratus) pengerusi cawangan baru sementara 1,081 (77 peratus) adalah penyandang asal," katanya.

Di peringkat bahagian, Chia berkata, sebanyak 147 daripada 150 bahagian telah mengadakan AGM dan pemilihan kecuali tiga bahagian tidak mengadakannya.

Daripada jumlah itu pula, sebanyak 131 (89 peratus) pengerusi bahagian menang tanpa bertanding sementara 16 lagi (11 peratus) menang bertanding.

"Terdapat 39 (26 peratus) pengerusi bahagian baru sementara 109 lagi (72 peratus) adalah penyandang asal," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain