suria

Pemilik kedai emas cedera ditembak dalam kejadian samun

SHAH ALAM: Seorang pemilik kedai emas cedera parah akibat ditembak dalam kejadian samun di hadapan rumahnya di Taman Melawati Kuala Selangor hari ini.

See Eng Huat, 46, yang cedera di pinggang kini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilapor stabil.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ibrahim Chin berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.30 pagi ketika See baru menghidupkan enjin keretanya yang diletakkan di ruang letak kereta rumahnya.

"Mangsa didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah kenderaan jenis Honda. Mangsa kemudian keluar dari keretanya kerana menyangka kedua-dua lelaki itu hendak bertanyakan jalan atau alamat di kawasan itu," katanya.

Ibrahim berkata dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu sebaliknya menyerang mangsa dan cuba merampas sebuah beg berisi wang tunai sebanyak RM10,000 yang digalas See.

"Berlaku pergelutan antara mangsa dan kedua-dua suspek dan dalam keadaan kelam kabut itu, seorang daripada suspek melepaskan satu das tembakan pada bahagian kiri pinggang mangsa sebelum mereka melarikan diri bersama beg berisi wang tunai itu," katanya.

Ibrahim berkata anggota keluarga mangsa yang berada di dalam rumah hanya menyedari kejadian itu apabila mendengar bunyi tembakan.

Beliau berkata polis akan meneliti rakaman CCTV yang ada di rumah mangsa untuk siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain