suria

Nasir Melabel Parti Sosialis antiagama tidak benar

PETALING JAYA: Selepas lima dekad negara merdeka, Parti Sosialis Malaysia (PSM) iaitu parti terbaru didaftarkan, masih yakin bahawa Malaysia akan "menjadi negara sosialis" satu hari nanti.

Bagaimanapun Presidennya, Dr. Mohd. Nasir Hashim tidak yakin ia akan menjadi kenyataan dalam satu waktu terdekat ini.

"Malaysia ini akan jadi sosialis tetapi ini tidak akan berlaku dalam lima tahun lagi tetapi kami akan usahakan sehingga rakyat sendiri mahu.

"Kalau tidak, kita mohon membuktikan kemampuan kita," kata beliau ketika ditemu bual mStar Online di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya mengusahakan penubuhan parti tersebut atas kehendak rakyat dan menunggu selama 10 tahun untuk didaftarkan.

"Kita membentuk sesuatu apabila rakyat mahu bentuk itu dibentuk bukan secara palsu orang ada parti, kita pun hendak ada parti. Maknanya ada kehendak... bukan kita paksa kehendak itu," katanya.

Pemimpin-pemimpin parti itu telah bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.

Seorang daripada merupakan Ahli Parlimen dan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu Nasir sendiri.

Parti itu juga diperuntukkan lima kerusi dalam majlis kerajaan tempatan.

Dalam pilihan raya umum lalu mereka bertanding atas tiket pembangkang.

TEMU BUAL PENUH

Ikuti temu bual bersama Dr. Mohd Nasir Hashim, Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang memperolehm kelulusan pendafatran baru-baru ini. Nasir kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Kota Damansara, Subang.

Apa cerita di sebalik penubuhan Parti Sosialis Malaysia (PSM)?

NASIR: Ia bermula akhir 1989. Sebenarnya saya dulu dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), dalam awal tahun 1990 di mana pada masa itu, kepimpinan PSRM mahu menggugurkan perkataan sosialis kerana guggurkan perkataan sosialis senang untuk urusan pilihan raya dan sebagainya. Maka mereka guggurkan nama sosialis.

Masa itu saya cuba mempertahankan. Sebelum itu saya ditahan bawa ISA, prinsip sosialis yang menyebabkan saya ditahan selama 15 bulan di Kamunting tetapi mereka sudah buat keputusan untuk menguggurkan nama sosialis, menjadi PRM (Parti Rakyat Malaysia) dan selepas itu dua pucuk pimpinan PRM bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.

Saya cuba mempertahankan tetapi masa itu 'peperangan' antara sosialis dan komunis bercelaru di Eropah. Maka mereka pun rasa sosialis tidak penting lagi dan digugurkan dan saya cuba mempertahankan tetapi tidak berjaya. Oleh itu, saya tarik dirilah... itu pada 1990. Pada 1990, mereka telah membuat keputusan untuk menjadikan PSRM sebagai PRM, masa itu saya undur diri sebagai ahli dan dan Pengerusi Kuala Lumpur PSRM.

Selepas itu, saya bergerak sebagai NGO terlibat dalam Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar. Kita aktif, kita bertemu dengan dua tiga NGO dan berbincang. Ini kerana kita rasa sosialisme itu penting dalam sistem kita ini kerana kami merasakan selagi ada penindasan selagi itulah ada sosialis. Penindasan ini dilakukan oleh kapitalisme. Kita berbincang sejak 1989, kita mohon untuk pendaftaran sebelum itu kita berbincang nak gunakan nama sosialis ke tidak. Kalau gunakan perkataan sosialis kita ada tidak berkaitan dengan komunisme. Kita sosialis bukan komunis, kita sosialis tetapi orang tidak faham. Oleh itu ada perbincangan hendak menggunakan nama sosialis ataupun tidak. Akhirnya, kita membuat keputusan bahawa kalau kita tidak menggunakan nama sosialisme, maka orang akan kata hendak memperjuangkan atas nama sosialis tetapi hendak menggunakan nama sosialis pun takut.

Halangan-halangan yang dilalui dalam usaha menubuhkan PSM?

NASIR: Terdapat juga banyak sosialis sebelum ini tetapi kita adalah aktivis mereka (kerajaan) tidak senang dan mereka enggan membenarkan pendaftaran parti kita. Bila parti tidak daftar, kita mohon kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, mereka pun tolak tanpa memberi alasan... jadi kami membawa kerajaan ke mahkamah. Ini merupakan kali pertama satu parti membawa kerajaan ke mahkamah kerana mereka tidak membenarkan pendaftaran parti kita dan katakan kita berniat jahat. Ini telah memakan masa selama 10 tahun.

Selama 10 tahun perjuangan untuk mendapatkan pendaftaran parti. Pada 19 Ogos kita telah mendapat lesen pendaftaran untuk parti kita. Walau bagaimanapun, selama 10 tahun ini kita bergerak seolah-olah parti kita yang telah mendapat pendaftaran. Kita ada pilihan raya, kita terlibat dalam pilihan raya, kita membuat demokrasi dan sebagainya. Jika hendak tunggu... maka tidak bolehlah, nanti kita tidak boleh bergerak dan lama-lama kita akan berkarat.

Dari awal sampai sekarang, orang terima PSM kerana kita buat kerja. Dalam proses kita melakukan kerja kita, kita berbincang bagaimana sistem yang kaya menindas orang yang miskin, bagaimana yang kaya mendapat sokongan kerajaan, orang politik, polis, pejabat tanah untuk mengasak. Jadi itulah pada yang dimaksudkan sosialisme, menentang penindasan dan cara untuk membalas penindasan tersebut dalam pelbagai bentuklah dan cara. Apa yang kita lakukan adalah analisis keadaan di mana rakyat ditindas dan bagaimana rakyat mengatasinya.

Akibat daripada itu, banyak kawasan yang berjaya kita membantu, mereka akan kibarkan bendera kami. Walaupun mereka tidak lagi menjadi ahli kerana kita tidak boleh mengadakan kempen untuk mendapatkan ahli kerana kita belum daftar.

Kita memang aktif dalam demokrasi dalam menentang peperangan, ISA dan sebagainya. Oleh itu, ramai ahli kita yang banyak dihantar ke penjara. Saya pun banyak kali ditahan. Tuduhan dan kutukan daripada polis tidak lekat pada kami, mereka tidak mengikuti peraturan tertentu dan ada yang menahan kami dengan cara yang tidak betul.

Walaupun menghadapi rintangan dalam 10 tahun ini, tetapi kami dihormati oleh pihak-pihak NGO, parti politik. PAS pun memanggil kami dalam ceramah-ceramah mereka walhal kami parti sosialis, maka isu yang mengatakan parti sosialis antiagama tidak timbul kerana mereka sudah nampak cara kita kerja. Kita melakukan kerja kita secara terang dan terbuka dan tidak akan sorok-menyorok.

Kami juga ada kejayaan dari segi perjuangan rakyat dalam pilihan raya ini kita ada seorang Ahli Parlimen, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan tiga ahli majlis kerajaan tempatan. Ini merupakan perkara baik bagi sesebuah parti yang belum mendapat pendaftaran.

Apakah asas-asas yang membawa kepada kelahiran PSM?

NASIR: Asas kita senang saja. Kita tidak mahu orang ditindas... negara yang kaya kita mahu berkongsi dengan orang yang miskin kerana dalam negara kita sekarang, orang miskin sangat miskin dan orang yang kaya sangat kaya.

Bermaknanya kekayaan diagihkan supaya rakyat dapat rasa kekayaan itu. Jika negara itu kaya, sama-sama kita rasa kekayaan itu, kalau miskin sama-sama rasa. Kita juga mempersoalkan sistem kapitalisme, sistem yang ada ini memang sistem yang menindas dari penindasan inilah mereka dapat keuntungan. Negara kita berasas dengan sistem kapitalis dan ktia terikut-ikut sejak British lagi. Sikap kita masih kolonial. Cara kita berhubung dengan rakyat ada birokrasinya, penindasan berlaku.

Dulu British ada Malaya, sekarang pemimpin orang politik yang kaya menindas rakyat pula. Kita rasakan ini tidak adil kerana rakyat adalah pekerja dan mereka adalah tulang belakang kepada ekonomi negara tetapi kita tidak menghormati mereka. Hidup mereka semakin susah, ada kesatuan pun dicengkam oleh kerajaan. Yang kita dapat lihat yang menjadi tulang belakang ekonomi negara tidak dapat penghormatan kecuali pada 1 Mei iaitu Hari Pekerja... maka kerajaan akan puji. Akan tetapi, semua undang-undang buruh semua menekan, memihak kepada majikan. Ini bukan menolong orang yang miskin tetapi mengambil kesempatan ke atas mereka kerana mereka tidak dapat mempertahankan mereka sendiri. Pekerja bukan saja menjadi tulang belakang negara tetapi mereka juga mempunyai potensi untuk mempertikaikan sistem yang ada.

Kita mahu pemimpin takut kepada rakyat, sekarang tidak berlaku tetapi pilihan raya umum yang lepas telah membuktikan rakyat mempunyai kuasa. Pihak pembangkang terperanjat kerana menang dan Barisan Nasional terperanjat kerana kalah. Mereka tidak sangka perkara itu berlaku. Ini adalah kuasa rakyat. Kita hendak memperkukuhkan kuasa rakyat supaya suatu masa nanti rakyat dapat memilih pemimpin yang bagus, yang berkualiti, yang sentiasa berkhidmat untuk mereka.

Bagaimanapun pula dengan perjuangan PSM?

NASIR: Parti kita adalah untuk memperjuangkan nasib rakyat yang tertindas di mana kita katakan mereka adalah tulang belakang negara tetapi tidak memberikan penghormatan kepada mereka, mereka menjadi lebih susah kerana mereka tidak ada pembelaan. Kalau adapun orang yang membela untuk mereka, orang tersebut akan ditahan.

Ini hanya boleh dilakukan jika kita memperkukuhkan pengetahuan dan analisis kepada rakyat, mereka akan tahu dari segi keadaan politik mereka lebih memahami bagaimana hendak menganalisis keadaan dan mereka boleh membuat pilihan yang baik. Kalau tidak mereka akan terpengaruh dengan TV, surat akhbar dan kadangkala TV, surat akhbar pun ikut rentak kerajaan yang ada. Jika rakyat sudah faham, maka orang tidak boleh tipu mereka... pemimpin tidak boleh bermain ‘tai chi’ dengan mereka.

Kita mahu rakyat yang boleh memberi kritikan dan kita mahu rakyat boleh gulingkan kita seperti yang berlaku di pilihan raya lepas. Sifat memperkasakan rakyat sudah wujud, tugas kita adalah untuk mengkukuhkan lagi.

Kalau rakyat membuat demokrasi adalah OK, maka kita akan bincang dan tengok apa yang boleh kita buat. Mereka bersuara, itu hak mereka, hanya jangan merosakkan harta benda. Jadi kita kena kekalkan itu.

Kita cari jalan penyelesaian untuk membantu, kadangkala rakyat tidak tahu kehendak mereka sebab itulah kita kena bersama dengan rakyat selalu. Bermaknanya, kita berhubung dengan rakyat, mereka belajar sesuatu daripada kita dan kita pun belajar sesuatu daripada mereka. Bukan kita kata kita saja yang berilmu, tidak betul.

Kita kena jaga titik rujukan itu. Misal kata, saya orang nutrisi, saya pergi ke kampung saya tanya pasal protein, kalori, vitamin mana mereka tahu, mestilah mereka tidak tahu. Itu bukan bermakna orang kampung tidak pandai kalau bincang pasal menoreh getah, kita yang bodoh, mana kita tahu macam mana hendak toreh... bila hendak toreh, bila daunnya gugur, kalau hujan apa hendak buat.

Kalau kita hendak membantu mereka, kita kena faham hidup mereka, apa masalah mereka yang pada kita anggap remeh tetapi pada mereka penting. Budaya dia, agama dia, hubungan dia semua itu kita kena ambil kira baru kita faham macam mana kita hendak bersama dengan mereka. Kalau tidak dia ikut arahan sajalah... yang kita tidak ambil kira pengalaman dia.

Bayangkan dalam satu tempat walaupun mereka miskin mereka dapat hidup dengan anak-anak yang ramai, mereka tahu bagaimana hendak hidup. Kalau hantar orang bandar tinggal di kampung, mati dia. Bermakna mereka ada pengalaman, dia bukan bodoh, jadi kita kena belajar pengalaman mereka. Kita mahu rakyat menyertai dalam proses pembangunan, itu yang penting. Macam mana mereka sertai dalam pembangunan? Mereka kena faham, diajar, dalam perjuangan itu mereka tengok sendiri, dari situ dia boleh merasakan nilai mereka.

Rakyatlah adalah unsur yang paling penting. Bagi saya, rakyat melakukan kesilapan saya boleh tolak ansur tetapi polis, pemimpin dan golongan berpelajaran melakukan kesilapan saya tidak boleh maafkan. Rakyat mungkin tidak mempunyai ilmu yang mencukupi.

Kita hendak bergerak bersama dengan rakyat. Ikut rentak rakyat, jika tidak mereka tidak akan ikut arahan mereka akan mempertikaikan arahan dan mereka sendiri akan buat arahan dan kita bawa bincang kalau idea itu bagus kita kukuhkan. Jangan rasa malu untuk menyuarakan idea. Jangan kerana tidak mempunyai ilmu yang tinggi maka tidak berani menyuarakan. Bagi saya pelajaran bukan satu isu. Kadangkala orang yang berpelajaran tinggi, mereka bersikap hipokrasi, ada kepentingan.

Dalam pengalaman kami yang tidak berpelajaran tinggi jika diletak pada tempat yang betul mereka akan menjadi pemimpin yang luar biasa, mereka akan belajar. Yang berpelajaran tinggi biasanya mempunyai masalah kerana mereka mengimbang kedudukannya dan kepentingannya. Bagi yang tidak berpelajaran tinggi, mereka tidak ada kepentingan hati mereka adalah berkhidmat untuk rakyat.

Bagimana pul dengan misi dan visi PSM selepas mendapat pengesahan pendafatran?

NASIR: Peringkat pertama matlamat kami adalah untuk mempertikaikan penindasan. Selagi ada penindasan, selagi kita wujud. Kita dapat lihat sistem kapitalis yang ada pada hari ini adalah berunsur penindasan, daripada penindasanlah mereka dapat keuntungan, daripada keuntunganlah mereka dapat kuasa. Oleh itu, semua perkara yang berlaku adalah melibatkan penindasan dan penindasan ini dilakukan terhadap yang miskin.

Penindasan ini berlaku secara berterusan, di dalam negara tidak kira bandar ataupun luar bandar terdapat penindasan yang berlaku. Penindasan juga berlaku dalam keluarga, negara serta peringkat antarabangsa. Jika sesebuah negara berlaku penindasan maka pemimpinlah yang patut bertanggungjawab. Kita hendak rakyat yang berkuasa bukan pemimpin yang berkuasa di mana rakyat yang memerintah.

Sejauh mana masa depan PSM? selepas ini? Ke mana hendak tuju?

NASIR: Kalau boleh bantu selesaikan masalah yang ada... peringkat kedua kita hendak mendidik mereka untuk menjadikan mereka lebih memahami apa yang berlaku persekitaran. Kita mahu memberikan ilmu tentang politik tetapi mereka tidak semestinya perlu memasuki parti politik, jika mereka tidak mahu. Bagi mereka faham hubungan sehingga menyebabkan keadaan kita miskin kerana kemiskinan itu adalah hubungan yang menyebabkan mereka jadi miskin. Sistem kerajaan, politik kerajaan yang menyebabkan yang miskin menjadi lebih miskin. Miskin tidak diberi penghormatan kerana polisi tidak memihak kepada mereka. Undang-undang negara adalah untuk melindungi kepentingan orang yang kaya, tidak kepada orang miskin. Kita akan membawa agenda untuk kepentingan rakyat.

Apakah langkah-langkah yang akan diambil berkaitan dengan pelan perkembangan parti di seluruh negara?

NASIR: Setakat ini, kita dalam proses mendapatkan ahli iaitu mengadakan kempen di seluruh negara untuk mendapatkan lebih banyak keahlian tetapi ikut kemampuan kamilah. Memanglah hasrat kami suatu masa nanti Malaysia ini akan jadi sosialis tetapi ini tidak akan berlaku dalam lima tahun lagi tetapi kami akan usahakan hingga rakyat sendiri mahu. Kalau tidak, kita mohon membuktikan kemampuan kita.

Kita membentuk sesuatu apabila rakyat mahu bentuk itu dibentuk bukan secara palsu. Orang ada parti, kita pun hendak ada parti. Maknanya ada kehendak, bukan kita paksa kehendak itulah.

Boleh jelaskan tentang kelainan PSM sekarang dan dulu?

NASIR: Kelainannya adalah kita boleh kempen untuk mendapatkan ahli kerana yang lain kita sudah buat. Dulu kita tidak ada Ahli Parlimen, ADUN, ahli Majlis dan sekarang kita ada maka momentum parti kita sekarang adalah lebih tinggi dan dengan itu kita dapat rapatkan hubungan kita dengan rakyat lagi.

Ini bermakna rentak kita sekarang akan lain sedikit dan rakyat lebih berani dan terbuka untuk menerima mereka sebagai sosialis. Kita tiada masalah juga dengan PAS dan bagi Islam sosialis bukan satu masalah.

Jika kita rasakan apa yang kita buat adalah untuk kebaikan rakyat dan kita tidak ada kepentingan dari segi itu dan kita boleh teruskan. Untuk mendapat keyakinan rakyat terhadap parti, kita kena bertindak adil. Saya di Kota Damansara, Umno ke MIC ke kalau hendak bekerja maka saya tidak akan bertolak.

Kerelevanan PSM dalam era politik masa sekarang?

NASIR: Kalau PSM tidak relevan sudah lama PSM hancur. PAS dan BN juga menjemput kami ke ceramah-ceramah mereka.

Kemungkinan PSM bergabung dengan kesatuan-kesatuan sekerja?

NASIR: Kita rapat dengan kesatuan sekerja. Gabung, kita tidak tahu... banyak isu-isu yang selalu kita bincang dan merujuk kepada mereka. Kita juga akan mengkritik kesatuan-kesatuan jika mereka tidak melakukan kerja yang patut dilakukan. kemungkinan itu ada tetapi kita kena berbincang semasa sendiri hinggalah kita mempunyai frekuensi yang sama.

Adakah PSM akan menyertai Pakatan Rakyat?

NASIR: Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim berniat maka kita akan bincanglah. Kita akan ada pendirian yang tersendiri. Fasa kita senang sahaja, jika kamu memperjuangkan untuk rakyat, kita akan merupakan kawan baik dan setia pada kamu; jika kamu menindas rakyat, maka kami merupakan musuh kamu. Sebelum ini adalah berbincang sikit untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat ataupun Pakatan Rakyat, itu kita tidak tahulah. Kami masih belum membincangkan lagi selepas PSM mendapat sijil pendaftaran. Lagipun cara serta gaya PSM adalah lebih berhampiran dengan Pakatan Rakyat berbanding dengan BN.

Kalau tidak menyertai dalam Pakatan Rakyat pun, kita akan masih bekerjasama dengan mereka. Kita akan melakukan program yang minimal contohnya program mengenai hak-hak asasi, mempertikaikan ISA, masalah pekerja, anti-peperangan dan sebagainya. Kita akan beri sokongan jika mereka mainkan isu perkauman kami akan menentang.

Sebelum ini, kita ada berbincang tetapi saya tidak mengambil secara serius kerana masa itu parti kita belum mendapat sijil pendaftaran parti lagi. Kami akan tunggu surat jemputan yang formal daripada beliau. Kita tidak tergesa-gesa untuk berbincang mengenai perkara itu kerana selama ini kami sudah biasa bergerak bebas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain