suria

Muhyiddin ulangi umum jawatan ditanding hanya selepas pendirian PM

PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi bahawa beliau hanya akan mengumumkan jawatan yang bakal ditandingi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan pendiriannya sebelum 9 Oktober ini.

Ketika ditemui wartawan pada majlis rumah terbuka di Muar semalam, Muhyiddin berkata, beliau tidak mahu membuat pengumuman yang "melangkau pucuk pimpinan parti" dalam memutuskan jawatan yang bakal ditandinginya.

"Saya tidak mahu melangkau lebih awal sebelum Perdana Menteri membuat keputusan," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan mengambil perubahan senario politik semasa dan kehendak akar umbi parti.

Jelas Muhyiddin, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sendiri tidak mengatakan apa-apa mengenai pendirian beliau mengenai jawatan yang bakal ditandingi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, adalah tidak tertib membuat keputusan sebelum Presiden parti membuat keputusan.

"Walaupun ramai ahli yang membuat kenyataan, mereka mahu mencadangkan saya bertanding... kita tunggulah sehari dua ini bagi mendapatkan pandangan yang lebih jelas," ujar beliau.

Pada Jumaat lalu, Abdullah berkata, beliau hanya akan membuat keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan atau sebaliknya sebelum 9 Oktober ini.

Persidangan perwakilan bahagian bermula 9 Oktober ini.

Setakat semalam tiga bahagian telah menyatakan akan mencalonkan Muhyiddin bertanding jawatan Timbalan Presiden iaitu Cheras dan Titiwangsa di Wilayah Persektuuan dan Kampar, Perak.

Bahagian-bahagian itu mencalonkan Najib bagi jawatan Presiden.

Kelmarin ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet di ibu negara, Muhyiddin memberitahu, beliau akan mengumumkan keputusannya sebaik sahaja Abdullah mengumumkan pendirian beliau ekoran perubahan pada pelan peralihan kuasa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain