suria

Chong Raymond Tan masih ahli SAPP

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mendakwa bahawa Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah secara teknikalnya masih menjadi ahli parti itu kerana belum menghantar surat peletakan jawatan.

Ketua penerangan SAPP Chong Pit Fah memberitahu setakat ini, tidak seorang pun ahli dari Bahagian Tanjung Papat yang diketuai Raymond Tan menyerahkan surat letak jawatan itu.

Raymond Tan pernah dipetik sebagai berkata bahawa diri kini adalah wakil rakyat bebas dari Barisan Nasional (BN) apabila SAPP keluar daripada parti komponen BN pada 17 September.

Menurut ketua penerangan SAPP itu, di bawah perlembagaan parti, keahlian parti terpelihara selagi surat peletakan jawatan tidak diterima atau ahli itu sudah dipecat parti.

Para ahli parti di peringkat cawangan yang meletak jawatan juga dikehendaki menyerahkan fail keahlian, buku akaun dan aset pejabat lain, kata Chong di dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

"Ada kemungkinan di masa depan nanti, semua bekas ahli parti termasuk Raymond akan mendakwa yang mereka tidak pernah meletak jawatan. Jadi,sebagai ahli, mereka ada hak untuk menghadiri mesyuarat, menggunakan kemudahan pejabat parti, mengundi dan bertanding merebut jawatan semula, seperti yang termaktub di dalam perlembagaan parti." katanya.

Kata Chong, sekiranya surat peletakan jawatan masih belum diterima dari Raymond dan lima ahli lain, maka SAPP tidak ada pilihan kecuali memutuskan status sebenar keahlian mereka.

Beliau juga memberitahu bahawa ibu pejabat parti telah menerima 134 surat letak jawatan dari kawasan perundangan Elopura, termasuk bekas Timbalan ketua Menteri Datuk Tham Nyip Shen dan ahli dewan undangan negeri Elopura, Au Kam Wah,dan sembilan surat letak jawatan dari cawangan Bandar Telipok yang dahulunya diketuai setiausaha poltik di Pejabat Ketua Menteri, Jimmy Wong Chee Kiong.

Chong berkata SAPP sedar terhadap perbuatan memujuk ahli parti supaya memasuki parti politik baru yang akan ditubuhkan, tetapi kebanyakkan tidak tertarik. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain