suria

Senat lulus pelan kecemasan RM24 trilion dapat nafas baru

[Dikemas kini] WASHINGTON: Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) malam tadi (pagi ini, waktu Malaysia), dalam keputusan yang disifatkan sebagai mengejutkan, menerima pelan kecemasan ekonomi Presiden George W. Bush bernilai lebih RM2 trilion.

Undang-undang pakej menyelamatkan ekonomi negara itu mendapat sokongan 74 anggota manakala 25 yang lain membantah, sekali gus memberikan nafas baru bagi mengelakkan krisis AS itu memusnahkan persekitaran ekonomi global.

Daripada 74 yang menyokong, 39 merupakan anggota Demoktat, 34 Republikan dan seorang wakil Bebas iaitu Senator Joe Lieberman.

Seramai sembilan wakil Demoktrat, 15 wakil Republikan dan seorang anggota Bebas membantah pakej tersebut.

Dalam reaksinya, Bush memuji keputusan Senat itu.

"Saya percaya anggota kedua-dua parti di Dewan Perwakilan akan menyokong perundangan ini.

"Rakyat Amerika berharap dan ekonomi kita mendesak agar Dewan Perwakilan meluluskan undang-undang ini minggu ini dan menghantar ke meja saya," katanya. Dengan kelulusan itu undang-undang itu akan dibawa ke Dewan Perwakilan - di mana pemerhati melihat ia berhadapan dengan satu lagi ketidaktentuan selepas anggota dewan itu telah menolak pelan kecemasan tersebut Isnin lalu.

Sokongan mengejutkan ini diperoleh selepas perunding daripada kedua-dua parti Demokrat dan Republikan bersetuju dengan syarat-syarat pakej yang telah diteliti semula.

Kini perundingan sedang diadakan di Dewan Perwakilan bagi membolehkan sokongan besar diperoleh apabila ia dibawa semula buat kedua kelak.

Pemimpin majoriti Demokrat di Dewan Perwakilan, Steny Hoyer memberi amaran undang-undang pelan kecemasan itu hanya akan dibawa semula untuk perbahasan jika mempunyai peluang untuk diluluskan.

"Jika wujud dwipartisan, majoriti menyokong pakej Senat, kami kemungkinan membawa ke Dewan Perwakilan pada Jumaat (esok)," kata beliau dalam satu kenyataan.

Dewan Senat juga yakin dengan penerimaan di peringkat itu, undang-undang berkenaan akan berada di hadapan Bush hujung minggu ini untuk kelulusan pelaksanaan.

Pelan yang diluluskan Dewan Senat membolehkan had insurans deposit persekutuan dinaikkan sehingga AS$250,000 daripada AS$100,000 sekarang, sebagaimana digesa oleh kedua-dua calon Presiden, Barack Obama dan John McCain sebelum ini.

Matlamat usaha terbaru ini ialah memperoleh sekurang-kurangnya 12 undi sokongan berbanding jumlah yang menyokong Isnin lalu, apabila Dewan Perwakilan menolak undang-undang berkaitan pelan asal. Agensi

Artikel Berikut

Artikel Lain