suria

Peralihan kuasa bukan andaian sudah jelas Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil menyifatkan pelan peralihan kuasa parti sudah jelas berkata, beliau masih belum membuat keputusan mengenai jawatan yang akan ditandinginya Mac depan.

"Saya pengerusi jawatankuasa perlembagaan. Saya tidak percaya dengan andaian. Apabila ia sudah jelas, maka jelaslah," kata beliau apabila ditanya sama ada peralihan kuasa yang diwar-warkan Mac 2009 hanya satu andaian.

Beliau yang dicalonkan oleh dua bahagian di Wilayah Persekutuan awal minggu ini untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden berkata:

"Semua ini (mengenai siapa yang akan bertanding bagi apa-apa jawatan) bergantung kepada kata putus muktamad yang akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi."

Oleh itu, Muhyiddin berkata, beliau hanya akan mengumumkan keputusannya selepas Perdana Menteri membuat keputusan.

"Saya perlu melakukannya. ia perlu dibuat cepat, sebelum mesyuarat bahagianbahagian bermula. Sebab itulah saya mahukan isyarat atau keputusan daripada Perdana Menteri," kata beliau apabila ditanya akan jawatan yang beliau akan bertanding.

Abdullah, apabila mengumumkan penundaan Perhimpunan Agung Umno dari Disember 2008 ke Mac 2009, berkata beliau, hanya akan membuat keputusan sama ada akan mempertahankan jawatannya sebelum 9 Oktober.

Mesyuarat bahagian-bahagian akan bermula pada 9 Oktober.

Mengikut rancangan asal Abdullah, yang juga Presiden Umno, sepatutnya menyerahkan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Timbalan Presiden Umno pada Jun 2010.

Tetapi tarikh itu telah dibawa ke hadapan.

Mengenai jawatan yang beliau akan bertanding, Muhyiddin berkata, ia bergantung kepada apa yang dianggap sesuai oleh anggota parti bagi beliau.

Ditanya sama ada anggota-anggota parti bertindak wajar dengan mengumumkan calon-calon yang mereka akan sokong, beliau berkata itu adalah hak mereka.

"Itu hak anggota, seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Najib. Mereka boleh putuskan kepimpinan macam mana yang mereka mahu. Ia tidak bercanggah dengan perlembagaan.

"Bagaimanapun adalah baik jika dapat tunggu pengumuman perdana menteri akan keputusannya. Dari situ, kita akan dapat isyarat sama ada presiden yang ada sekarang akan bertanding dan ini akan menghentikan pelbagai andaian dan ketidaktentuan," katanya.

Mengenai hasrat Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding bagi jawatan Presiden, Muhyiddin berkata, sebagai anggota Umno beliau bebas untuk bertanding bagi mana-mana jawatan tetapi terpulang kepada bilangan pencalonan yang beliau terima.

"Kita sebuah parti demokratik," katanya merujuk kepada Umno.

Muhyiddin juga menjelaskan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) akan dimaklumkan mengenai perkembangan rancangan peralihan kuasa apabila masanya sesuai.

"Kita sekarang ini mencari jalan bagaimana untuk menguruskan situasi ini dalam Umno.

"Di peringkat ini, ia satu rancangan Umno tetapi jelas BN juga mempunyai kepentingan dalam hal ini dan saya juga rasa seluruh negara ingin tahu mengenai rancangan ini,' katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain