suria

Pemimpin Sapp keluar BN hadiri rumah terbuka Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Pemimpin politik Sabah hari ini mengetepikan perbezaan politik buat seketika untuk samasama memeriahkan sambutan Aidilfitri.

Dua minggu lepas, Parti Maju Sabah (Sapp) keluar daripada Barisan Nasional (BN) tetapi hari ini serombongan pemimpin tertinggi parti itu tetap mengunjungi rumah terbuka Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, sama sepertimana ketika mereka masih berada dalam gabungan itu.

Presiden Sapp, Datuk Yong Teck Lee dan timbalan-timbalan beliau, Datuk Liew Teck Chan dan Datuk Eric Enchin Majimbun, ketua wanita dan naib presiden Melanie Chia Chui Ket dan beberapa pemimpin lain, tiba pada pukul 11.30 pagi dan berada di sana kira-kira setengah jam, berbual dan menikmati juadah serta beramah mesra dengan bekas rakan seperjuangan yang hadir.

"Ini adalah kali pertama kami hadir pada acara anjuran kerajaan, bukan sahaja sejak 17 Sept (apabila parti itu keluar daripada BN), malah sejak 16 Jun (apabila parti itu menyatakan bahawa ia telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan perdana menteri).

"Memang ada beza rasanya tetapi memandangkan begitu ramai orang yang hadir daripada pelbagai lapisan dan latar belakang politik, saya rasa ini adalah satu petanda yang baik terhadap perpaduan negara," katanya kepada pemberita. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain