suria

Makna Aidilfitri selepas tsunami politik Mac lalu

PETALING JAYA: Selepas lima dekad negara merdeka, sambutan Aidilfitri kali ini berlainan jika mengambil kira perkembangan tsunami politik Mac lalu.

Pilihan raya umum ke-12 Mac lalu menyaksikan lima negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, malah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (majoriti Parlimen dikuasai pembangkang) bersama Kelantan berpihak kepada pembangkang.

Wujudkah perbezaan sambutan Aidilfitri tahun ini dalam suasana politik negara yang masih dilalui ketidaktentuan?

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, sambutan tahun ini tiada bezanya dengan sambutan tahun-tahun sebelumnya kerana Aidilfitri disambut berdasarkan agama dan bukan mengikut fahaman politik.

"Kita pergi masjid bersama, bertakbir bersama dan saling bersalaman untuk mengukuhkan silaturrahim.

"Kalau rumah terbuka itu, ia berlangsung seperti biasa. Memanglah ada yang mengikut fahaman parti, contohnya Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum Pakatan Rakyat) membuat rumah terbuka untuk penyokong-penyokongnya tapi itu perkara biasa.

"Kita juga lakukan perkara yang sama dan ia memang sering diamalkan sebelum ini. Hal itu memang tiada halangan," kata Ketua Penerangan Umno dan Pengerusi Umno Selangor ini ketika dihubungi mStar Online.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut sependapat dengan Muhammad.

Malah kata anggota Majlis Tertinggi ini, beliau gembira kerana setiap negeri termasuk yang dikuasai pembangkang bertambah prihatin untuk membantu asnaf dengan bantuan wang zakat.

"Selain itu, hal-hal agama juga kurang dipolitikkan pada masa ini dan ini mungkin disebabkan bulan Ramadan menuntut supaya tiada perbalahan apatah lagi peperangan politik," kata beliau dihubungi awal minggu ini.

Berbeza pula dengan Pakatan Rakyat yang melihat sambutan pada tahun ini lebih bermakna berikutan kemenangan mereka menawan lima negeri pada pilihan raya umum yang lalu.

"Tahun ini merupakan hadiah kepada rakyat kerana Pakatan Rakyat sedang dalam usaha untuk menubuhkan kerajaan," kata Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul berkata, rakyat yang datang bertandang ke rumah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat semestinya mahu mengetahui tentang perancangan mereka untuk mengambil alih kerajaan.

"Mungkin akan ada ceramah kelompok di luar rumah kerana orang yang datang pasti akan bertanya dan kita kena jawab.

"Ini berbeza dengan sambutan sebelum ini kerana pada tahun lalu, kita lebih fokus kepada pilihan raya," katanya.

Jelas beliau, persiapan umat Islam pada tahun ini juga dilihat tidak begitu meriah, sama seperti tahun lalu.

"Faktor ekonomi dan harga barang yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak memberi tekanan kepada rakyat.

"Selalunya mereka berbelanja lebih untuk persiapan hari raya tetapi ia tidak dapat dilihat pada masa sekarang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, sambutan Aidilfitri tahun ini dirayakan oleh umat Islam dengan penuh debaran kerana menantikan janji Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kepimpinan negara.

"Pakatan Rakyat pula pada tahun ini beraya dengan penuh keazaman untuk melaksanakan perubahan.

"Bagaimanapun, perubahan politik yang berlaku ini tidak akan menjejaskan sambutan hari raya tapi kita tetap menghadapi cabaran besar untuk meyakinkan rakyat bahawa harus ada perubahan dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin berkata, beliau berasa sedikit bimbang sekiranya sambutan Aidilfitri tahun ini dipengaruhi dengan sentimen-sentimen politik.

"Pada bulan Ramadan, ada juga umat Islam kita yang tidak menunjukkan rasa hormatnya kepada bulan mulia ini dengan terus melaksanakan kempen politik dan memaki hamun.

"Kalau bulan puasa ini pun sudah menunjukkan rasa tidak hormat dan tidak melaksanakan tanggungjawab seperti yang dituntut, saya bimbang ia akan berlarutan sehingga hari raya.

"Selain itu, kita juga bimbang, Aidilfitri ini disambut secara berpuak-puak yang mana lebih mementingkan kelompok parti dan jika berlaku, ia sememangnya mengecewakan kerana hari raya sepatutnya disambut secara umum oleh semua umat Islam," katanya.

Asri berkata, dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil, sambutan perayaan perlu lebih sederhana dan tidak berlebih-lebihan.

"Orang-orang politik contohnya jika tahun lalu (sambutan) meriah, tahun ini mungkin kurang sedikit.

"Seharusnya ia perlu disambut secara sederhana kerana jika disambut secara mewah dan berlebih-lebihan, tidak elok nanti jika dinilai rakyat.

"Kalau duit sendiri tidak mengapa tetapi jangan sekali-kali jika ia melibatkan wang peruntukan untuk rakyat," katanya.

Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, pergolakan politik dalam negara tidak sama sekali akan mengganggu fokus masyarakat kepada sambutan Aidilfitri.

"Dalam keadaan politik sekarang, saya berharap, tidak timbul sambutan perayaan yang berpuak-puak kerana sambutan Aidilfitri adalah sambutan agama di mana umat Islam perlu berkasih sayang dan bersatu padu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain