suria

Surat terbuka Zaid minta Abdullah mansuhkan ISA

PETALING JAYA: Senator Datuk Zaid Ibrahim yang meninggalkan Kabinet dua minggu lalu, dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengulangi agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini, dimansuhkan.

"Yang Amat Berhomat, anda masih lagi Perdana Menteri dan masih mempunyai kesempatan untuk meninggalkan jejak anda dalam sejarah Malaysia.

"Saya menyeru anda berbuat begitu dengan memansuhkan terus ISA sama sekali.

"Marilah kita cuba memenuhi janji yang telah dibuat oleh Perdana Menteri pertama kita yang dikasihi kepada rakyat negara ini," kata Zaid yang pada 15 September lalu menghantar surat meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 16 September, Zaid secara rasmi mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Zaid yang bertanggungjawab atas portfolio perundangan dan kehakiman berkata, antara sebab peletakan jawatannya ialah kegagalan beliau memperkenalkan beberapa dasar baru dalam sistem perundangan selain kecewa dengan penggunaan ISA yang pada anggapannya sudah disalah gunakan.

Surat enam halaman itu diedarkan kepada media hari ini.

Surat bertarikh itu menyatakan dengan terperinci sebab dan pendirian pemimpin-pemimpin masa lalu menggubal undang-undang berkenaan.

Zaid yang masih kekal sebagai anggota Dewan Negara menambah, beliau masih mengingati apa yang pernah diperkatakan oleh Abdullah iaitu jika seseorang itu mempunyai kesempatan untuk melaksanakan apa yang baik dan betul untuk negara, maka individu berkenaan mestilah melaksanakan tugasan tersebut.

Sehubungan itu, tegas Zaid, beliau amat menghormati Abdullah kerana pendirian sedemikian.

Zaid ketika mengumumkan peletakkan jawatannya mendakwa menerima banyak tentangan bukan sahaja daripada rakan dalam Kabinet malah daripada anggota Umno.

Artikel Berikut

Aidilfitri disambut Rabu ini

Artikel Lain