suria

Siapan Aidilfitri terganggu, Kedah, Pulau Pinang dilanda banjir

JALAN Patani di Pulau Pinang, antara kawasan dinaiki air ekoran banjir lebat lebih 24 jam di negeri itu. foto The Star oleh H N LEONG
JALAN Patani di Pulau Pinang, antara kawasan dinaiki air ekoran banjir lebat lebih 24 jam di negeri itu. foto The Star oleh H N LEONG
JALAN Patani di Pulau Pinang, antara kawasan dinaiki air ekoran banjir lebat lebih 24 jam di negeri itu. foto The Star oleh H N LEONG

PULAU PINANG:Hujan lebat, yang turun di negeri ini sejak awal pagi semalam, mengakibatkan beberapa kawasan termasuk sekitar bandar dinaiki air setinggi lebih satu meter hari ini.

Antara kawasan yang dinaiki air ialah Balik Pulau, Teluk Bahang, Teluk Kumbar dan Bayan Baru serta Bukit Mertajam.

Beberapa jalan di bandar ini turut dinaiki air antaranya Jalan Perak, Jalan P. Ramlee, Jalan Transfer, Jalan Hutton dan Jalan Patani, manakala Jalan Tun Sardon mengalami tanah runtuh.

Kerajaan negeri turut mengaktifkan jentera bencana alam negeri bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.

Bagaimanapun tiada mangsa banjir yang dipindahkan walaupun rumah mereka dinaiki air.

Anggota polis turut membuat kawalan lalu lintas di jalanjalan yang dinaiki air berikutan banyak kenderaan yang terperangkap dalam banjir kilat.

Jalan utama di Paya Terubong dan Air Itam serta Jalan Patani terpaksa ditutup sementara kepada lalu lintas berikutan paras air naik mendadak.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi ketika dihubungi berkata hujan yang berlaku pada lewat petang ini di beberapa kawasan diramal berlarutan hingga Khamis dengan angin dari arah Barat Daya bertiup dengan kelajuan 30 hingga 40 kilometer sejam.

Keadaan laut diramal bergelora dengan ketinggian ombak 2.5 meter dan ini bahaya kepada botbot kecil dan aktiviti pantai.

Beliau berkata, bermula pertengahan September, seluruh negara mengalami tempoh monsun peralihan iaitu keadaan angin lemah dan pelbagai hala dengan kelajuan angin tidak melebihi 10 knot (20 kilometer sejam).

Tempoh ini menyebabkan suhu lebih lembap dan perolakan kuat sehingga meningkatkan aktiviti ribut petir pada sebelah petang dan lewat petang.

"Monsun peralihan itu akan membawa bersama hujan lebat dan tiupan angin kuat dan dipercayai boleh menyebabkan banjir di beberapa kawasan," katanya.

Dalam pada itu, seramai 220 mangsa banjir dari dua buah kampung di daerah Yan bakal menyambut Aidilfitri dalam air bah jika kampung mereka terus digenangi air ekoran hujan lebat yang turun sejak semalam.

Pegawai Daerah Yan, Mohd Fisal Md Noor berkata, mangsa-mangsa terlibat merupakan penduduk di 44 buah rumah di kampung Titi Teras dan Kampung Kepala Bukit.

Tiada mangsa dipindahkan kerana hujan beransur reda dan paras air di beberapa batang sungai berada di bawah paras bahaya iaitu 4.6 meter tidak melebihi paras bahaya 5.6 meter.

Bagaimanapun, katanya, pihak Jabatan Pertahan Awam (JPA3), polis dan tentera serta Ikatan Relawan Rakyat (Rela) mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya hujan berterusan hingga malam ini.

Beliau berkata, dua pusat pemindahan iaitu Surau Kepala Bukit dan Masjid Titi Teras akan dibuka sekiranya penduduk perlu dipindahkan.

"Kita akan buka dua pusat pemindahan itu untuk menempatkan mangsa banjir yang dipindahkan jika keadaan mendesak, walaupun kita faham kebanyakan penduduk mahu beraya di rumah masingmasing, tetapi semua bergantung kepada keadaan dan tahap keselamatan," katanya hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail turut meninjau keadaan dan bertemu dengan mangsa banjir di kedua-dua kampung itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Aidilfitri disambut Rabu ini

Artikel Lain