suria

Roboh kuil: MIC mahu kerajaan negeri Selangor minta maaf

KUALA LUMPUR: MIC menggesa kerajaan Selangor memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat India di negara ini kerana pelbagai kenyataan mengelirukan yang dibuat berhubung tindakan meroboh sebuah kuil Hindu di Ampang baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, wakilwakil kerajaan negeri Selangor masih enggan memohon maaf meskipun telah berlaku kesilapan berhubung kenyataan bercanggah yang dikeluarkan mereka mengenai isu perobohan kuil Sri Mahakaliamman pada 9 September lepas.

Beliau mengulas kenyataan bercanggah yang dibuat oleh dua wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung isu perobohan kuil berkenaan.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin telah menyatakan bahawa binaan itu diroboh oleh jawatankuasa kuil berkenaan bagi menjalankan kerja pengubahsuaian tetapi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Estet dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier A. Jayakumar pula berkata lima hingga enam pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya terlibat dalam kerja merobohkan kuil itu.

Samy Vellu juga mahu kerajaan negeri Selangor mengumumkan sama ada mereka masih berpegang kepada dasar untuk tidak merobohkan manamana kuil. BERNAMA

Artikel Berikut

Aidilfitri disambut Rabu ini

Artikel Lain