suria

Perutusan Aidilfitri pemimpin, NGO

Ketua Pembangkang di Parlimen:

Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata: "Saya, mewakili keluarga dan segenap lapisan kepimpinan dan akar umbi Parti Keadilan Rakyat ingin mengucapkan Salam Aidilfitri kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia amnya.

"Ramadan kini menghampiri penghujung, Syawal bakal menjelang tiba. Umat Islam selepas menunaikan ibadat puasa di bulan yang mulia ini pastinya menyambut kedatangan bulan Syawal dengan rasa penuh kesyukuran.

"Bulan Ramadan ini, sebagaimana yang diulaskan oleh para ulama, adalah madrasah terbaik buat melatih serta mendidik kita umat Islam agar berani dan yakin mendepani segala cabaran yang mendatang. Ramadan sentiasa mengajar kita betapa kesabaran menjadi paksi kepada kejayaan hakiki dan memperkukuhkan kekuatan ruh serta jiwa."

Ketua Menteri Pulau Pinang:

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, amalan kunjung-mengunjung yang menjadi tradisi masyarakat majmuk di negara ini mampu mempereratkan hubungan silaturrahim dan berupaya mengukuhkan semangat perpaduan yang menjadi tunjang kepada persefahaman dalam kalangan rakyat.

"Ini bersesuaian dengan makna Islam sebagai agama yang syumul atau universal (kerana) cara hidup Islam adalah menyeluruh dan mencakupi semua aspek kehidupan sama ada ekonomi, sosial dan politik," katanya.

Lim berkata, aspek kepelbagaian kaum, agama, adat, budaya dan bahasa tidak menjadi penghalang kepada kemajuan.

Ketua Menteri Sarawak

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud meminta rakyat mengambil pengajaran daripada keadaan ekonomi dunia masa kini dan tumpukan perhatian kepada cara memantapkan politik negara demi perpaduan.

Beliau yakin dengan tindakan itu, Malaysia akan terus dapat maju jaya serta dapat menikmati segala hasil perjuangan ekonomi yang telah dijalankan sejak berpuluhpuluh tahun lepas.

"Demikianlah nasihat saya pada Hari Raya ini agar kita akan dapat berjagajaga dan jangan terbawabawa dengan pengaruh dari luar kerana sistem kewangan ekonomi Barat sekarang ini dalam keadaan teruk sekali.

"Sekarang ini negara kita mengalami politik kurang sihat kerana ada pihak yang kononnya mahu membawa perubahan mengikut trend dunia dan ingin merampas kuasa," katanya.

Sempena dengan sambutan itu, Taib serta keluarga akan mengadakan rumah terbuka di Stadium Tertutup di Petra Jaya pada hari pertama dan kedua.

Setiausaha Agung MCA

Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, perpaduan yang dibina melalui sambutan hari perayaan semua kaum adalah ibarat seperti rumah bertiang seribu yang sudah pasti tidak mudah roboh walaupun ditiup angin kencang.

"Setiap satu daripada kita adalah tiangtiang yang menegakkan keamanan dan kemakmuran negara tercinta ini," kata beliau yang juga Setiausaha Agung MCA.

Yang Dipertua Negeri Sarawak:

Di Kuching, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dalam perutusan serupa berkata, kaum lain digalak berkunjung ke rumah terbuka masyarakat Islam untuk mempereratkan hubungan dan persahabatan bagi mengekalkan perpaduan.

Abang Muhammad Salahuddin serta keluarga akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya pertama untuk orang kenamaan, dan hari kedua untuk ketua jabatan serta orang awam, di Dewan Santapan Astana Negeri di Petra Jaya dari 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Ketua Menteri Sabah:

Di Kota Kinabalu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyeru rakyat supaya terus mengekalkan perpaduan selain bekerja keras untuk menentukan semua rancangan pembangunan di Sabah dapat dilaksanakan dengan lancar.

Katanya, Aidilfitri merupakan kesempatan yang baik untuk anggota keluarga dan rakanrakan saling bermaafan.

Presiden MIC:

Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu berkata, Aidilfitri perlu dijadikan satu kesempatan untuk eratkan lagi hubungan antara kaum.

Kata beliau, tali persaudaraan antara kaum sangat penting supaya rakyat dapat bekerjasama ke arah membolehkan negara mencapai kemajuan dan terus mempertahankan kedaulatannya.

Katanya rakyat Malaysia bernasib baik kerana dapat hidup dalam keadaan aman dan selamat hasil hubungan antara kaum yang baik sejak sebelum merdeka sehingga ke hari ini.

Presiden Parti Progresif Penduduk:

Presiden Parti Progresif Penduduk, Datuk M. Kayveas menyeru rakyat supaya mengekalkan perpaduan demi kestabilan sosial, ekonomi dan politik memandangkan sejak kebelakangan ini, ketidakstabilan politik telah memberi kesan terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

Ketua Dewan Pemuda Pas:

Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub berkata, Aidilfitri adalah satu kesempatan terbaik untuk rakyat semua bermaafmaafan serta meningkatkan hubungan persahabatan.

"Aspek kepelbagaian inilah yang yang membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara maju, (dan) masyarakat dapat mengekalkan keamanan dan kestabilan politik negara walaupun berdepan dengan kekangan globalisasi dan krisis ekonomui dunia," katanya.

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao:

Presiden Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao, Datuk A. Vaithilingam berkata, sambutan Aidilfitri akan membawa bersama anggota keluarga dan jiran.

"Ketika kesemua rakyat Malaysia menanti kedatangan Aidilfitri bersama keramaian dan pertemuan, kami di MCCBCHST mendoakan perjalanan yang selamat, muhibah dan penyatuan semula bersama keluarga dan jiran, keprihatinan terhadap mereka yang miskin dan kurang bernasib baik, yang berumur dan kanak-kanak.

"Kami mendoakan agar rakyat Malaysia akan mengambil kesempatan ini untuk mengunjungi jiran mereka, rakan dan sahabat mereka yang beragama Islam. Perpaduan negara terbina kerana persahabatan peribadi dan semangat kejiranan," katanya.

Artikel Berikut

Aidilfitri disambut Rabu ini

Artikel Lain