suria

Keluarga rizal bersyukur atas pembebasan Melati 5

JOHOR BAHARU: Tidak ada ungkapan lain yang dapat dilafazkan oleh Abdul Jabar Abdul Hadi, 59, dan isterinya Fauziah Salleh, 55 selain syukur kepada Allah SWT apabila mengetahui anak mereka Rizal Shah, 29 dibebaskan lanun Somalia.

Malah, sejurus selepas menerima berita itu daripada pihak Malaysian International Shipping Corporation (MISC), keduadua pasangan itu terus melakukan solat sujud syukur.

Perkhabaran pembebasan kapal MT Melati 5 pada 28 Sept itu sememangnya dinanti-nantikan tatkala umat Islam seluruh dunia membuat persiapan bagi menyambut cahaya Syawal.

"Kami begitu gembira dan terharu dengan berita itu tapi selagi tak nampak wajah Rizal hati kami takkan puas," kata Fauziah yang sebelum ini jatuh sakit apabila mendengar anaknya bersama anak kapal Bunga Melati 5 ditawan lanun Somalia di Teluk Aden.

"Seperti kata Perdana Menteri pembebasan kapal itu seumpama hadiah daripada Allah SWT kepada mereka sempena hari lebaran ini," katanya ketika ditemui di rumah keluarga di Taman Kemas di sini.

Menurut mereka, Rizal Shah yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu dijangka pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.

"Pihak MISC menghubungi saya pada 27 September dan memberitahu proses pembebasan berjalan lancar setelah wang tebusan dibayar," kata Jabar sibuk memasak ketupat dan membuat persiapan Hari Raya yang lain.

MT Bunga Melati 5 dengan 36 anak kapal rakyat Malaysia dan lima warga Filipina ditawan lanun pada 29 Ogos lalu ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

Pada masa yang sama MT Bunga Melati 2 dengan anak kapal seramai, 39 orang di mana 29 daripadanya adalah rakyat Malaysia yang dibebaskan semalam telah ditawan pada 19 Ogos di perairan yang sama semasa berlayar dari Indonesia ke Belanda.

Seorang anak kapal warga Filipina mati apabila terkena peluru sesat semasa lanun menawan kapal itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Aidilfitri disambut Rabu ini

Artikel Lain