suria

(Dikemas kini) 12 lemas bot bawa rakyat Indonesia karam dekat Pelabuhan Klang

SEORANG daripada mangsa bot karam wanita warga Indonesia menenangkan anaknya ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang hari ini. - fotoBERNAMA
SEORANG daripada mangsa bot karam wanita warga Indonesia menenangkan anaknya ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang hari ini. - fotoBERNAMA
SEORANG daripada mangsa bot karam wanita warga Indonesia menenangkan anaknya ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang hari ini. - fotoBERNAMA

PELABUHAN KLANG: Seramai 11 wanita termsuk seorang yang sarat mengandung dan seorang lelaki warga negara Indonesia lemas dan 112 lagi terselamat selepas tongkang kayu yang mereka naiki tenggelam di perairan Pintu Gedong, 15 km dari Pelabuhan Barat, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang, ACP Mohamad Mat Yusop berkata, semua mangsa yang lemas berumur dalam lingkungan 20-an.

Tongkang itu dipercayai berlepas dari kawasan hutan di Pulau Che Mat Zin, berhampiran Pelabuhan Barat menghala ke Tanjong Balai di Sumatera dan karam selepas 10 minit berlayar.

"Kesemua mangsa dan mayat ditemui terapung berdekatan tongkang terbabit," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Kecemasan Westport Malaysia di sini.

Beliau berkata, mayat ditemui oleh bot tunda dari Westport Malaysia Sdn Bhd yang dalam perjalanan menunda sebuah kapal tangki "Arowana Liverpool" ke Pelabuhan Barat.

Mohamad berkata, polis mendapat maklumat daripada Westport pada 7.30 pagi dan menjalankan operasi menyelamat dibantu 60 anggota penyelamat dari Polis Marin, Jabatan Laut dan Unit Keselamatan Westport.

Mangsa yang terselamat terdiri daripada 79 lelaki, 30 wanita, dua kanak-kanak dan seorang bayi berumur lapan bulan, kesemuanya warga negara Indonesia.

Sepuluh daripada mereka kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang manakala selebihnya masih ditempatkan di pusat operasi sementara Westport.

Mohamad berkata, tongkang sepanjang lima meter itu hanya mampu menampung 70 penumpang tetapi ia membawa kirakira 130 orang.

Beliau berkata, jumlah sebenar belum diketahui dan operasi mencari diteruskan sehingga 6 petang ini. Katanya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan ditemui pada semua mangsa.

"Polis menahan enam lelaki warga Indonesia dipercayai tekong tongkang terbabit untuk siasatan. Mereka dipercayai mendalangi operasi tongkang haram yang membawa rakyat Indonesia masuk dan keluar Malaysia," katanya.

Kesemua rakyat Indonesia itu dipercayai dalam perjalanan pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Seorang penumpang, yang hanya dikenali Nur Najihah, 22, berkata kejadian itu berlaku dalam sekelip mata dan bot itu tibatiba tenggelam.

Najihah berkata, anaknya Indra Putra Asli, 14 bulan, terlepas daripada pegangannya.

Katanya, dia terus berenang mencari anaknya itu dan berjaya menemuinya yang diselamatkan oleh penumpang lain. BERNAMA

Artikel Berikut

Aidilfitri disambut Rabu ini

Artikel Lain