suria

Dewan Amerika tolak pelan penyelamat krisis ekonomi RM2.4 trilion

WASHINGTON: Usaha pentadbiran Presiden George W. Bush untuk menyelamatkan krisis kewangan negara itu daripada menjadi lebih teruk terbantut ekoran keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) semalam menolak pelan kecemasan bernilai kira-kira RM2.4 trilion (AS$700 dolar).

White House mengusahakan pelan berkenaan untuk mengatasi krisis kewangan yang dilihat sebagai paling buruk sejak kemelesetan dunia pada 1930.

Malah, keputusan itu juga mengejutkan kerajaan, Wall Street dan pasaran seluruh dunia.

Pemerhati-pemerhati pula melihat perkembangan terbaru itu akan mencetuskan kebimbangan baru di kalangan masyarakat dunia.

Perkembangan terbaru itu juga dilihat sebagai satu kegagalan buat Bush yang berusaha mendapatkan sokongan negaranya - termasuk kedua-dua calon Presiden - bagi keluar daripada masalah terbesar sepanjang lapan tahun beliau berada di White House.

"Kita meletakkan pelan yang besar kerana kita berhadapan dengan masalah besar," kata Bush semalam.

Jurucakapnya, Tony Fratto berkata, Bush sangat "kecewa" dengan perkembangan tersebut.

Bush lebih kecewa kerana anggota-anggota partinya, Republikan sendiri yang membantah dan menolak pelan kecemasan tersebut.

Pelan itu menerima undi bantahan 228 berbanding 205 yang menyokong, dengan 133 anggota Republikan membantah usaha Bush bersama 95 anggota Demokrat.

Usaha tersebut disokong oleh 140 anggota Demokrat dan 65 anggota Republikan.

Ia sekali gus memaksa pentadbiran Bush, yang akan mengakhiri kepimpinannya selama lapan tahun Januari depan, memfokus untuk tampil dengan strategi baru hari ini.

Malah perkembangan tersebut juga memaksa Dow Jones merosot 777 mata - yang paling tinggi dalam satu-satu hari pasaran.

"Kita perlu melakukan sesuatu bagi membolehkan pelan menyelamat ini menjadi kenyataan," kata Setiausaha Perbendaharan AS, Henry Paulson, yang wajahnya berkerut dan masam selepas melihat penolakan Dewan Perwakilan.

Selepas ditolak, beliau dan Pengerusi Federal Reserve, Ben Bernanke menyertai sesi strategi kecemasan di White House.

Di Capitol Hill, pemimpin-pemimpin Demokrat berkata, Dewan Perwakilan akan bersidang semula esok - bagi memberi harapan agar krisis kewangan yang dihadapi AS sekarang dapat diatasi dengan pelan baru.

Mengenai kesannya, Paulson berkata, kegagalan meluluskan pelan berkenaan akan menyebabkan 'kemarau' kredit bagi perniagaan kecil dan besar, sekali gus menyebabkan mereka gagal membuat pembayaran gaji ataupun membeli inventori.

Bagaimanapun kata Paulson, beliau akan berusaha untuk menyelamatkan pelan berkenaan.

"Adalah sangat penting (untuk menyelamatkan pelan kecemasan) daripada menyebabkan ia gagal," katanya lagi.

Anggota yang menyokong pelan berpendapat usaha sedemikian sangat perlu untuk mengelak keruntuhan sistem ekonomi AS, yang jika berlaku bukan sahaja akan menjejaskan pasaran-pasaran pelaburan Wall Street, malah kemungkinan simpanan dan portfolio berjuta-juta rakyat AS.

Malah mereka berpendapat kegagalan pelan itu juga akan memberi kesan ke atas ekonomi Eropah dan dunia.

Bagaimanapun pihak yang menentang pelan berkenaan berpendapat usaha itu terlalu tergesa-gesa dan akan menyebabkan penggunaan wang pembayar cukai untuk menyelamatkan pelaburan buruk peserta-peserta pasaran Wall Street. Agensi

Artikel Berikut

Aidilfitri disambut Rabu ini

Artikel Lain