suria

Upko ikut langkah Sapp?

KOTA KINABALU: Bila Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee mengumumkan keputusan parti keluar dari gabungan Barisan Nasional (BN) pada 17 September, ini tidak memeranjatkan ramai orang kerana ia sesuatu yang memang diduga.

Ini kerana tiga bulan sebelum itu, Sapp telah menyatakan niatnya.

Tetapi bila Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) mengancam akan mengkaji kedudukannya dalam BN, ini mengejutkan dan kelihatan serupa dengan langkah politik Sapp.

Upko dengan itu menjadi parti komponen kedua BN yang membuat "kenyataan keras" terhadap BN selepas Sapp.

Sementara Sapp mendedahkan isu-isu berkaitan Sabah sebagai "senjata" politiknya, Upko nampaknya kurang senang dengan cara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menangani nasib seorang wanita Cina-Kadazan berusia 78 tahun Yong Lee Hua, yang diberikan kad pengenalan merah dengan status pemastautin tetap bila beliau memohon menggantikan IC birunya yang hilang di sebuah supermarket di Penampang tahun lepas.

Terkejut dengan penurunan taraf itu, Timbalan Presiden Upko, Datuk Wilfred Bumburing disebut sebagai berkata semalam bahawa merampas kewarganegaraan dari seorang bumiputera dan memaksanya menerima status pemastautin tetap cukup memeranjatkan tentang bagaimana tidak cekapnya sebuah jabatan yang dipenuhi kontroversi, termasuk pengeluaran IC yang meragukan kepada imigran haram menerusi Deklarasi Berkanun palsu.

"Tindakan ini oleh JPN melanggar hak asasi warga Malaysia di Sabah dan jika ia tidak diperbetulkan, Upko mesti mengkaji dengan serius kedudukannya dalam Barisan," kata Bumburing, anggota Parlimen Tuaran.

Apakah Upko akan mengikut jejak langkah Sapp kerana tidak puas hati dengan BN?. Penganalisis tempatan, Iskandar Martin Gayo, percaya Upko mungkin tidak mempunyai rancangan untuk keluar dari BN buat masa ini sekalipun parti berpangkalan di Sabah itu agak lantang akhirakhir ini dalam menyuarakan rungutan rakyat Sabah.

"Saya fikir apa yang Upko mahu ialah bagi kerajaan membetulkan "kesilapan" sebuah jabatan persekutuan dan itu bukan kata dua. Tidak ada salahnya. Ini kerana Upko berjuang demi kebaikan rakyat tempatan Sabah.

"Sudah menjadi rahsia umum yang Sabah dibebani masalah imigran haram dan sesetengah mereka malah berjaya mendapatkan MyKad menerusi cara meragukan, yang akhirnya melayakkan mereka mendapatkan kerakyatan.

"Bagaimana orangorang ini boleh dengan mudah mendapatkan kerakyatan sedangkan orang kita sendiri bertungkus lumus hendak mendapatkannya?" tanya beliau.

Beliau menggesa kerajaan persekutuan membenarkan rakyat Sabah mengetuai JPN dan Jabatan Imigresen di Sabah oleh kerana mereka lebih memahami masalah yang melibatkan penduduk tempatan.

Iskandar berkata, kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memang bekerja keras, bersama kerajaan persekutuan, menangani masalah imigran haram.

Masalah ini, kata beliau, tidak harus timbul lagi oleh kerana kerajaan negeri dan pusat begitu serius untuk menyelesaikannya buat selamanya dengan melancarkan operasi besarbesaran membanteras pendatang haram di Sabah barubaru ini.

"Operasi barubaru ini berjaya menghantar balik beriburibu imigran haram ke negara asal mereka. Penduduk tempatan hendaklah memberi peluang kepada kerajaan menyelesaikan tugas besar ini dan ini tidak mungkin dapat dicapai dalam tempoh singkat," kata beliau.

Iskandar berharap kes membabitkan Yong Lee Hua yang ditonjolkan oleh Upko adalah kes terpencil dan tanpa memerlukannya untuk memikirkan tentang statusnya dalam BN.

Beliau berkata, Presiden Upko dan Ahli Parlimen Penampang, Tan Sri Bernard Dompok malah pernah menafikan sebelum ini yang parti itu akan meninggalkan BN.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin UPKO akan terus setia kepada pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, katanya.

Upko mempunyai empat Ahli Parlimen - Dompok, Bumburing, Datuk Dr. Marcus Majigoh (Putatan) dan Datuk Siringan Gubat (Ranau). BERNAMA

Artikel Lain