suria

Penjual nasi lemak mengaku tidak bersalah guna wang palsu

KUALA LUMPUR: Seorang penjual nasi lemak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menggunakan dan memiliki wang palsu ketika membeli dua biji kerongsang di satu bazar Ramadan di sini pada Rabu lepas.

Naemah Ramli, 49, berasal dari Indonesia yang memegang taraf penduduk tetap di sini, didakwa menggunakan wang kertas RM50 palsu sebagai tulen untuk membeli dua biji kerongsang daripada Norazmi Misti, 32, di gerai No.107, Bazar Ramadan, Lorong Tuanku Abdul Rahman pada 10.15 malam 24 September lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 489(B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Naemah, yang tidak diwakili peguam bela turut didakwa memiliki 62 keping wang kertas RM50 palsu dengan niat untuk menggunakan wang tersebut sebagai tulen, di pondok polis Masjid India, pada waktu dan tarikh yang sama.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika disabitkan kesalahan.

Hakim S.M Komathy Suppiah membenarkan Naemah diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dan menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkannya melantik peguam.

Naemah gagal membayar jaminan tersebut.

Pendakwaan dilakukan oleh Cif Insp R.Rukumar. BERNAMA

Artikel Lain