suria

Pemandu forklif mengaku tidak bersalah curi kertas percetakan

SAW Lai Hin diiringi anggota polis beredar dari Mahkamah Majistret Pulau Pinang setelah dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencuri 239 gulung kertas percetakan milik Kwong Wah Yit Poh Press Bhd bernilai RM119, 500 sejak Januari lepas. - fotoBERNAMA

PULAU PINANG: Seorang pemandu forklift hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencuri 239 gulung kertas percetakan milik Kwong Wah Yit Poh Press Bhd bernilai RM119,500 sejak Januari lepas.

Saw Lai Hin, 34, dari Jalan Kuala Kangsar, Georgetown, didakwa mencuri 239 gulung kertas percetakan dengan setiap gulung bernilai RM500 milik Kwong Wah Yit Poh Press Bhd antara Januari hingga bulan ini di Gudang Sitt Tatt, Jalan Sungai Pinang.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa ASP L. Chand Kumary mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Chand Kumari memohon mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. Peguam Jagdeep Singh yang mewakili tertuduh kemudiannya meminta jaminan ditetapkan sebanyak RM5,000.

Majistret 'Ainul Bashirah Dona Don Biyajid membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM7,000 beserta seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan kes itu pada 2 Mac depan. BERNAMA

Artikel Lain