suria

Parameswaran tanding Naib Presiden Gerakan bulan depan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Bahagian Ampang dan Bukit Indah, G. Parameswaran hari ini mengumumkan beliau akan bertanding jawatan naib presiden parti.

Katanya, beliau mahu membawa perubahan dalam arena politik tempatan dan berkongsi idea untuk memperkukuhkan lagi parti.

"Ini khusus untuk generasi akan datang. Saya hanya merancang untuk memegang jawatan bagi maksimum tiga penggal, bagi memberi laluan kepada pemimpin muda yang lebih bertenaga," katanya dan menurutnya setakat ini beliau telah menerima 25 pencalonan untuk bertanding jawatan itu.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, katanya beliau ikhlas mahu menjadikan Gerakan sebuah parti yang lebih kuat, sebuah parti "Bangsa Malaysia di mana Gerakan akan dianggotai lebih ramai kaumkaum lain".

Katanya, anggota Gerakan kini terdiri daripada 10 peratus Melayu, 20 peratus India dan 70 peratus Cina dan beliau mahu menjadikan lebih seimbang daripada segi penyertaan kaum.

Beliau juga berkata, adalah penting bagi ahli politik untuk menjalin hubungan yang lebih mesra dengan rakyat dan turun padang sekerap mungkin.

Parameswaran menganggotai Gerakan sejak 2002. BERNAMA

Artikel Lain