suria

MT Umno berhak tangguhkan AGM - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Penangguhan mesyuarat dan Perhimpunan Agung Umno ke Mac depan tidak melanggar manamana peraturan perlembagaan parti, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno berhak menetapkan tarikh Perhimpunan Agung.

"Kalau ikut perlembagaan Umno, kuasa tertinggi adalah Majlis Tertinggi selain Perhimpunan Agung dan Majlis Tertinggi berhak untuk menetapkan tarikh mesyuarat-mesyuarat termasuk Perhimpunan Agung dan yang terkini, Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menangguhkannya maka saya tidak nampak bagaimana ia melanggar perlembagaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Ibu Tunggal dan Golongan Orang Kurang Upaya di sini malam ini.

Beliau berkata, semua pihak perlu melihat penangguhan berkenaan dalam konteks yang lebih besar iaitu untuk menyelesaikan masalah peralihan kepimpinan dan atas dasar persefahaman kepimpinan, MT memutuskan tarikh berkenaan dan dianggap sesuai dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Diminta mengulas mengenai hasrat bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden, beliau berkata, hasrat Tengku Razaleigh sudah lama disuarakan dan bukan sesuatu yang baru.

"Itu hak dia, kita menghormati hasrat dia hendak bertanding bagi jawatan Presiden, terserah kepada ahliahli perwakilan di bahagian sama ada untuk mencalonkan beliau atau tidak," kata Muhyiddin.

Kelmarin, mesyuarat khas MT menangguhkan pemilihan dan Perhimpunan Agung Umno ke Mac depan untuk membolehkan peralihan kuasa dipercepatkan daripada yang dijadualkan pada 2010.

Pada majlis berkenaan, Muhyiddin menyampaikan sumbangan RM5,000 oleh Yayasan Pendidikan Cheras kepada Persatuan Ibu Tunggal, Warga Emas dan Orang Kurang Upaya. Sumbangan RM5,000 juga turut diberikan kepada Badan Kebajikan Anak Yatim, Fakir Miskin Dan Balu.

Artikel Lain