suria

Keluar BN sertai Pakatan, antara 3 opsyen dikaji Gerakan

KUALA LUMPUR: Selepas enam bulan pilihan raya umum diadakan, Gerakan mengulangi bahawa ia sedang mempertimbangkan tiga opsyen - termasuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan menyertai Pakatan Rakyat.

Satu lagi opsyen ialah memainkan peranan di luar BN sebagai parti Bebas.

Parti Maju Sabah (Sapp) kini bertindak sebagai Bebas selepas mengumumkan ia keluar BN pada 17 September lalu.

“Kami tidak menolak sebarang kemungkinan (meninggalkan BN) pada waktu ini. Kami perlu menilainya tetapi tidak menolak pintu (kepada kemungkinan itu)," kata Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon di sini semalam.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, pihaknya tidak mengatakan Gerakan akan pasti meninggalkan BN buat masa sekarang.

"Ia adalah sesuatu yang perlu kami menilai tetapi kami tidak boleh melakukannya kerana sentimen semata-mata," kata beliau selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Gerakan Wilayah Persekutuan di sini semalam.

Jelas beliau, jika bertindak atas sentimen semata-mata, lebih 60 peratus mahu parti tersebut meninggalkan BN.

"Tetapi kami mengambil kira banyak faktor dalam membuat pertimbangan. Satu-satu keputusan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan sentimen," katanya.

Kata beliau, pemimpin-pemimpin parti itu sedang menilai sejauh mana senario politik di negara ini akan terus berubah selain mendapatkan pandangan daripada akar umbi.

“Ini merupakan masa yang penuh dugaan dan perlu ada lebih banyak pertimbangan waras, analisis objektif," kata beliau dan menambah, langkah ke arah itu bukan satu keputusan yang boleh dibuat dengan mudah.

Dalam pada itu, lebih 20 ahli Gerakan Wilayah Persekutuan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam dengan lebih ramai dijangka berbuat demikian dalam beberapa minggu akan datang.

Bekas Ketua Biro Penerangan Gerakan Wilayah Persekutuan, Gan Kok Keng berkata, sekurang-kurangnya 300 orang dari empat bahagian bakal menyertai parti pembangkang tersebut.

Bahagian-bahagian itu ialah Setiawangsa, Wangsa Maju, Bukit Bintang dan Kepong.

Gan yang telah menjadi anggota Gerakan sejak 24 tahun lalu berkata, pihaknya bertindak keluar parti kerana ia sudah tidak berupaya untuk memainkan peranan yang berkesan dalam BN.

“Kami sudah tiada ada kuasa membuat keputusan dan telah dipinggirkan dan dicela banyak kali," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Gan menambah, tindakan tersebut juga bertolak daripada kepercayaannya bahawa pandangan yang diutarakan oleh bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail pada Ogos lalu bukannya pendirian peribadi beliau tetapi pandangan anggota parti berkenaan.

Turut keluar Gerakan ialah bekas Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Tan Kang Ho; Ketua Biro Ekonominya, Julian Leong dan Setiausaha Wangsa Maju, Azali Omar.

Naib Presiden PKR, dan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa pula berkata, tindakan ahli-ahli Gerakan itu bukan sesuatu yang boleh dilakukan dengan mudah.

"Tindakan mereka ada berani. Tiada ganjaran wang diberikan dan tiada sebarang perbincangan mengenai jawatan dalam aprti (PKR)," katanya.

Awal bulan ini, bekas Ahli Parlimen Segambut dan Ketua Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Tan Kee Kwong telah menyertai PKR.

Artikel Lain