suria

Mubarak sambut baik tunda pemilihan, peralihan kuasa diawalkan

PETALING JAYA: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) menyambut baik langkah menunda Perhimpunan Agung Tahunan Umno ke Mac depan bagi memberi ruang untuk proses pelan peralihan kuasa yang akan diawalkan.

Presidennya, Tan Sri Abu Zahar ujang ketika dihubungi menyifatkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu adalah sesuatu yang cukup mulia kepada Umno.

"Tujuan Pak Lah cukup mulia, beliau sanggup laksanakan pelan peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib lebih awal dari yang disasarkan," katanya.

Abu Zahar berkata beliau amat menghormati keputusan Abdullah itu kerana ternyata beliau adalah seorang pemimpin yang mengutamakan parti.

"Saya secara peribadi memberikan satu penghormatan kepada Pak Lah kerana tidak mengutamakan kepentingan peribadi, sebaliknya mendahulukan kepentingan parti," katanya.

Mubarak sebelum ini pernah menggesa agar Abdullah mengadakan peralihan kuasa secepat mungkin sebelum pemilihan peringkat pusat pada Disember ini.

Bagaimanapun Abu Zahar berkata peralihan kuasa antara Abdulah dan Najib tidak bermakna Presiden umno itu sudah tiddak diperlukan oleh parti.

"Kita masih sayangkan Pak Lah, banyak jasa yang beliau lakukan kepada kita. Kita menyokong peralihan kuasa kepada Najib bukanlah bermakna kita menolak beliau," katanya sambil megakui Umno masih memerlukan pemimpin seperti Abdullah.

Tambah beliau, Najib yang bakal mengambil alih tugas Abdullah seharusnya menjadikan situasi sekarang ini sebagai satu teladan yang cukup berguna pada masa depan.

Ditanya mengenai rasional penangguhan Perhimpunan Agung Umno hingga Mac depan, beliau berkata, perkara tersebut dilihat sebagai satu imbangan yang yang bijak.

"Pak Lah tidak akan tinggalkan begitu sahaja. Beliau perlukan masa sebelum peralihan kuasa berlaku," katanya.

Menurutnya lagi, beliau yakin Abdullah akan membuat satu keputusan yang bijak dan akan mengumumkannya sedikit masa lagi.

"Pak Lah pasti akan buat satu keputusan yang bijak dan bertanggungjawab. Keputusan itu nanti pasti bukan untuk dirinya seorang tapi untuk kepentingan parti," katanya bagi mengulas kenyataan Abdullah yang akan mengumumkan sama ada untuk mempertahankan jawatnnya atau tidak sebelum 9 Oktober ini.

Artikel Berikut

574 produk disahkan bebas Melamine

Artikel Lain