suria

MIC mahu sukatan subjek Bahasa Tamil dikaji semula

KUALA LUMPUR: MIC hari ini meminta Kementerian Pelajaran menimbang cadangan parti itu untuk memasukkan aspek agama dalam sukatan mata pelajaran bahasa Tamil di peringkat sekolah rendah di negara ini.

Ketua Penerangan MIC, Datuk M. Saravanan ketika membuat saranan itu melahirkan rasa kecewa terhadap sukatan pelajaran bahasa Tamil yang sedia ada yang tidak memasukkan aspek agama.

Pelajaran bahasa Tamil adalah jauh berbeza berbanding dengan pelajaran bahasa-bahasa lain di mana aspek agama hendaklah merupakan salah satu komposisi utama bahasa tersebut.

"Oleh yang demikian, saya meminta jasa baik Kementerian Pelajaran agar mengubahsuai sukatan mata pelajaran bahasa Tamil di peringkat sekolah rendah supaya nilai-nilai keagamaan dapat diterapkan di kalangan belia kaum India," kata Saravanan selepas merasmikan mesyuarat Agung Kesatuan Guruguru Tamil Malaya di sini.

Menurutnya, belia India kini banyak terjebak dalam gejala sosial disebabkan kurangnya pemahaman aspek agama di peringkat bangku sekolah lagi.

Sementara itu, Saravanan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, salah satu sebab sekolah Tamil di negara ini dipolitikkan adalah kerana tiada rancangan jangka pendek dan panjang untuk sekolah-sekolah berkenaan.

Terdahulu, Saravanan turut merasmikan seminar pelajaran untuk penuntut India anjuran Puteri MIC Wilayah Persekutuan.

Pada majlis tersebut, Ketua Puteri MIC kebangsaan J. Usha Nandhini menggesa pelajar India lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana beliau dapati ramai di kalangan mereka yang lebih cenderung meneruskan pelajaran ke kolej swasta. BERNAMA

Artikel Berikut

574 produk disahkan bebas Melamine

Artikel Lain