suria

MIC mahu kerajaan Selangor dedahkan laporan roboh kuil di Ampang

KUALA LUMPUR: MIC menggesa Kerajaan Negeri Selangor mendedahkan kepada umum laporan sebenar berhubung tindakan merobohkan sebuah kuil Hindu di Ampang apabila dua wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi kenyataan bercanggah tentang perkara itu.

Dalam kenyataan hari ini, Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kenyataan dua wakil rakyat itu mengelirukan rakyat tentang siapa sebenarnya yang bertanggungjawab merobohkan kuil Sri Mahakaliamman pada 9 September.

Kata beliau, MIC mahu kerajaan negeri berterus terang tentang perkara itu dan mendedahkan siapakah yng mengarahkan kuil itu dirobohkan.

Beliau berkata, menurut Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, binaan itu diroboh oleh jawatankuasa kuil berkenaan bagi menjalankan kerja pengubahsuaian, tetapi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Estet dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier A. Jayakumar pula berkata, lima hingga enam pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya terlibat dalam kerja merobohkan kuil itu.

Kerajaan negeri yang diterajui PKR tidak sepatutnya mengalihkan isu ini dengan mendakwa MIC membuat tuduhan tidak berasas, kata Samy Vellu. BERNAMA

Artikel Berikut

574 produk disahkan bebas Melamine

Artikel Lain